Rabu, 17 April 2019 | 12:02pm
Saksi, Pengurus BNM, Azizul Adzani Abdul Ghafar. - NSTP/Eizairi Shamsudin
Saksi, Pengurus BNM, Azizul Adzani Abdul Ghafar. - NSTP/Eizairi Shamsudin

Pegawai BNM nafi beri keterangan tak benar bicara kes Najib

KUALA LUMPUR: Pengurus jabatan di Bank Negara Malaysia (BNM), Azizul Adzani Abdul Ghafar hari ini menafikan menerima taklimat daripada pihak tertentu supaya memberi keterangan tidak benar dalam perbicaraan kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd dihadapi Datuk Seri Najib Razak.

Azizul Adzani, Pengurus Jabatan Perisikan Kewangan dan Penguatkuasaan juga menafikan cadangan peguam, Harvinderjit Singh yang mewakili bekas Perdana Menteri itu bahawa beliau menyembunyikan sesuatu berhubung kes itu.

Ketika dirujuk laporan polis yang dibuatnya selepas serbuan dilakukan di Ambank Jalan Raja Chulan pada 6 Julai 2015, saksi pendakwaan kedua itu berkata, beliau juga tahu mesti membuat laporan polis yang tepat.

Harvinderjit: Dari mana dapat maklumat jelas untuk buat laporan polis menyatakan Seksyen 4 AMLA (Akta Pengubahan Wang Haram). Tuan mesti tahu tanggungjawab mana-mana pengadu dalam membuat laporan polis. Tuan tahu bahawa buat satu laporan polis yang salah atau tidak tepat adalah satu kesalahan di bawah Kanun Keseksaan?

Azizul Adzani: Tahu.

Harvinderjit: Bila laporan polis dibuat, perlu beri maklumat yang tepat.

Azizul Adzani: Tahu.

Harvinderjit: Pada 10.04 malam, 6 Julai 2015, selepas habis serbuan, tuan telah ke Balai Polis Tun HS Lee, iaitu lebih kurang 34 minit selepas dokumen terakhir diterima dari Uma Devi (R Uma Devi, Pengurus Cawangan Ambank Jalan Raja Chulan).

Azizul Adzani: Betul.

Harvinderjit: Tuan telah pergi ke HS Lee buat laporan, katakan adalah kesalahan yang disyaki di bawah Seksyen 4 AMLA (pengubahan wang haram). Maknanya pada (jam) 10.04 malam, kamu telah mengetahui siasatan dijalankan di bawah Seksyen 4 AMLA. Dari mana kamu tahu?

Azizul Adzani: Berdasarkan dokumen-dokumen yang dirampas, saya telah memasukkan seksyen itu.

Harvinderjit: Tuan yang masukkan, bukan pegawai penyiasat kes?

Azizul Adzani: Betul.

Harvinderjit: Kamu telah ‘review’ dokumen dalam 34 minit dan mendapat pendapat bahawa ada kesalahan di bawah Seksyen 4 AMLA, tapi kamu bukan pegawai penyiasat. Kamu tidak buat apa-apa panggilan kepada Tuan Farhan (Pegawai Penyiasat BNM, Ahmad Farhan Shahrudin)?

Azizul Adzani: Betul.

Harvinderjit: Apa dokumen yang telah dirampas yang membuat tuan berpendapat begini?

Azizul Adzani: Saya tidak ingat bagaimana keputusan itu dibuat.

Harvinderjit: Adakah kamu terima apa-apa taklimat dari mana-mana pihak untuk hadir ke perbicaraan ini dan memberikan keterangan yang tidak benar?

Azizul Adzani: Tidak.

Harvinderjit: Saya cadangkan kamu memberi keterangan yang tidak betul di mahkamah?

Azizul: Tidak.

Harvinderjit: Adakah kamu ada menyembunyikan sesuatu?

Azizul: Tidak.

Najib, 66, menghadapi tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan salah guna kedudukan dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali sedang berlangsung. - BERNAMA

Berita Harian X