Selasa, 16 April 2019 | 2:00pm

Guru KAFA rugi RM90,000 ditipu 'Inspektor Narita'

KUANTAN: Seorang guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) kerugian RM90,810 selepas ditipu seorang individu memperkenalkan diri sebagai ‘Inspektor Narita’ yang mendakwa wanita berkenaan terbabit dalam aktiviti pengubahan wang haram.

Guru berusia 44 tahun itu pada mulanya dihubungi pada kira-kira jam 9 pagi, 22 Mac lalu oleh seorang wanita yang mendakwa dirinya pegawai sebuah bank dan memaklumkan mangsa mempunyai tunggakan pinjaman peribadi sebanyak RM50,000.

Mangsa bagaimanapun berkeras tidak pernah membuat sebarang pinjaman peribadi sebelum panggilan disambungkan pula kepada seorang lagi wanita yang memperkenalkan diri sebagai ‘Inspektor Narita’.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof, berkata individu menyamar sebagai ‘Inspektor Narita’ itu kemudian memaklumkan siasatannya mendapati nama dan akaun mangsa turut terbabit dalam aktiviti pengubahan wang haram.

“Mangsa dimaklumkan oleh suspek, dia perlu membuat bayaran sebanyak RM196,000 untuk tujuan ikat jamin kes berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan media, di sini hari ini.

Berikutan itu, mangsa menyerahkan nombor kad ATM bank serta nombor pengenalan peribadi (PIN) kad berkenaan.

Mohd Wazir berkata, pada Ahad lalu, mangsa membuat semakan akaun Bank Rakyat miliknya dan mendapati wang sebanyak RM90,810 sudah lesap dari akaun itu.

“Dia yang berasa ditipu kemudian membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan di sini, semalam. Susulan itu, polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

“Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebatan serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan,” katanya.

Sebelum ini, media pernah melaporkan mengenai seorang guru wanita berusia 51 tahun di sini, kerugian RM113,000, juga selepas diperdaya oleh ‘Inspektor Narita’ yang mendakwa kononnya mangsa terbabit dalam kes pengubahan wang haram.

Malah, guru berkenaan sanggup membuat pinjaman bank sebanyak RM80,000 atas nasihat ‘Inspektor Narita’ yang kononnya mahu membantu menyelesaikan kesnya.

Berita Harian X