Isnin, 15 April 2019 | 7:25pm
PENGURUS BNM, Azizul Adzani Abdul Ghafar ketika ditemui di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. - Foto Eizairi Shamsudin
PENGURUS BNM, Azizul Adzani Abdul Ghafar ketika ditemui di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. - Foto Eizairi Shamsudin

8 dokumen dirampas termasuk 4 akaun bank milik Najib

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, diberitahu lapan dokumen termasuk empat akaun bank milik Datuk Seri Najib Razak dirampas di Bangunan Ambank, Jalan Tun Razak oleh Bank Negara Malaysia (BNM) bagi tujuan siasatan.

Pengurus BNM, Azizul Adzani Abdul Ghafar, 49, yang bertindak sebagai pegawai penggeledah dalam operasi di Ambank, berkata selain empat akaun Najib, pihaknya turut merampas dokumen membabitkan dua akaun SRC International Sdn Bhd dan satu akaun milik syarikat Gandingan Mentari Sdn Bhd.

Azizul yang juga saksi kedua pendakwaan, berkata rampasan itu dibuat mengikut peruntukan Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) bagi mendapatkan senarai akaun berhubung obligasi pelaburan.

Katanya, pada 6 Julai 2015, beliau menerima arahan daripada pegawai penyiasat BNM, Ahmad Farhan Jamaluddin untuk melakukan kerja penggeledahan bersama tiga lagi pegawai iaitu Azhamudin, Rizuan Kujikoya, Abdul Latif Abdul Karim.

“Sejurus tiba di cawangan bank berkenaan, kami bertemu dengan pengurus cawangan bank itu, R Uma Devi dan memaklumkan secara lisan senarai akaun yang diperlukan untuk siasatan BNM.

“Pengurusan cawangan itu kemudian pergi mendapatkan semua dokumen yang dinyatakan dan selepas meneliti dokumen berkenaan, saya mencatatkannya di dalam senarai geledah,” katanya ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Suhaimi Ibrahim.

Suhaimi: Selepas menerima dokumen daripada Uma Devi, ada tak kamu serahkan pada sesiapa?

Azizul: Tidak

Suhaimi: Apa kamu lakukan selepas merampas dokumen itu?

Azizul: Saya serahkan kepada pegawai penyiasat kes pada keesokan harinya, pada 7 Julai 2015.

Suhaimi: Selain dokumen yang diserahkan, apa dokumen lain yang diserahkan?

Azizul: Borang senarai menggeledah berserta dokumen yang dirampas.

Pada prosiding itu, Azizul turut mengecam dan mengesahkan dokumen yang ditunjukkan pihak pendakwaan.

Selepas Azizul selesai memberi keterangan pada pemeriksaan utama, peguam Harvinderjit Singh yang mewakili Najib memohon supaya prosiding ditangguhkan bagi membolehkan pembelaan meneliti dan menyusun semula lapan dokumen berkenaan.

Mahkamah menangguhkan prosiding pada jam 3.15 petang, sebelum bersidang kembali sejam kemudian.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, V Sithambaram memaklumkan mahkamah pihak pendakwaan memerlukan masa untuk membuat salinan dokumen berkenaan.

Najib didakwa pada 4 Julai tahun lalu atas tiga tuduhan pecah amanah dan satu tuduhan salah guna kuasa membabitkan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Pada 8 Ogos 2018 pula, beliau dituduh di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tiga tuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah dan dari dana sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung esok.

Berita Harian X