Ahad, 14 April 2019 | 7:39pm
KEADAAN kenderaan yang terbabit dalam kemalangan di Jalan Ayer Hangat, pagi tadi. - Foto ihsan bomba

3 parah kemalangan kereta dengan bas

LANGKAWI: Tiga lelaki parah, manakala dua lagi cedera, dalam nahas membabitkan sebuah kereta serta bas milik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di Jalan Ayer Hangat, di sini, pagi tadi.

Dalam kemalangan jam 11.40 pagi, bas berkenaan sedang membawa 30 peserta kursus pengurusan dari Ibu Pejabat JBPM ke Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Langkawi sebelum berlanggar dengan kereta jenis Perodua Myvi dinaiki tiga lelaki terbabit.

Dua lagi mangsa ialah penumpang wanita di dalam bas terbabit yang hanya mengalami kecederaan ringan.

Ketua Bomba Zon Langkawi, Penguasa Bomba Mohd Fadzlullah Mohd Nor, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.47 pagi sebelum anggota BBP Langkawi dikejarkan ke lokasi kejadian.

ANGGOTA bomba berusaha mengeluarkan mangsa yang terbabit dalam kemalangan di Jalan AYer Hangat, pagi tadi. - Foto ihsan bomba

Beliau berkata, setibanya di lokasi, anggota mendapati lima mangsa mengalami kecederaan, termasuk tiga yang menaiki kereta Perodua Myvi terbabit.

“Pemandu kereta itu dipercayai tersepit di tempat duduk dan berjaya dikeluarkan anggota dengan menggunakan peralatan khas.

“Operasi turut dibantu anggota jentera Perkhidmatan Penyelamatan dan Perawatan Kecemasan (EMRS),” katanya.

Mohd Fadzlullah berkata, mangsa yang parah ialah Zakaria Ismail, 29; Mohd Shukri Idris, 24; dan Mohd Sobri Deris berumur 20-an.

Semua mangsa yang cedera dihantar mendapatkan rawatan lanjut di Hospital Langkawi.

Berita Harian X