Rabu, 10 April 2019 | 4:22pm
Mohd Rudzuan (tengah) bersama pegawai kanan polis memeriksa sebahagian tong berisi 1,080 liter minyak diesel yang dirampas di sebuah rumah dekat Kampung Atas Kok, Simpangan, Tumpat. - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Mohd Rudzuan (tengah) bersama pegawai kanan polis memeriksa sebahagian tong berisi 1,080 liter minyak diesel yang dirampas di sebuah rumah dekat Kampung Atas Kok, Simpangan, Tumpat. - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar

Polis Marin serbu rumah, rampas 1,080 liter

TUMPAT: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga Pengkalan Kubor merampas 1,080 liter diesel yang disimpan di sebuah rumah di Kampung Atas Kok, Simpangan, di sini yang dipercayai untuk diseludup ke negara jiran.

Dalam serbuan pada jam 12.10 tengah malam tadi, pihak berkuasa turut menahan seorang lelaki berusia 60 tahun yang juga pemilik rumah berkenaan.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Wilayah Tiga Pengkalan Kubor, Asisten Superintendan Mohd Rudzuan Ahmad, berkata serbuan dilakukan hasil risikan oleh anggotanya serta maklumat awam.

“Sebaik memperkenalkan diri, anggota kami membuat pemeriksaan di belakang kediaman berkenaan dan menemui 30 tong berisi 30 liter diesel setiap satu dalam sebuah lori.

“Yang turut ditemui ialah 180 liter diesel dalam tangki minyak tambahan lori itu. Nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM2,354.40,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Mohd Rudzuan berkata, diesel itu dipercayai disimpan di rumah terbabit untuk diseludup ke Thailand kerana mendapat permintaan yang tinggi.

Katanya, dari segi modus operandi, lelaki itu dipercayai akan mengisi diesel ke dalam tong di beberapa stesen minyak di sekitar Pengkalan Kubor dan akan menyimpan di rumahnya.

“Jika ada permintaan dari negara jiran, baru diesel akan diseludup menggunakan bot galah. Permintaan terhadap diesel agak tinggi kerana harganya yang murah di negara ini iaitu RM2.80 berbanding Thailand RM4,” katanya.

Beliau berkata, pemilik rumah ditahan kerana gagal mengemukakan sebarang dokumen atau surat kebenaran menyimpan bahan bakar dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan dipercayai untuk diseludup ke negara jiran.

“Kes diserahkan kepada KPDNHEP untuk siasatan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.

Sepanjang 2019, katanya, PPM Wilayah Tiga Pengkalan Kubor merekodkan 23 kes tangkapan dan rampasan bahan bakar membabitkan 3,660 liter petrol dan diesel, selain tiga kenderaan dengan nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM52,227,” katanya.

Berita Harian X