Isnin, 8 April 2019 | 6:37pm

Bayi 9 bulan maut tercekik epal lenyek

BALING: Seorang bayi lelaki berusia sembilan meninggal dunia dipercayai akibat tercekik ketika diberi makan epal lenyek oleh pengasuhnya di sebuah taska di Kupang, dekat sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi itu, bayi berkenaan, Muhammad Fawwaz Mohd Fadlan, sedang diberi makan sebelum secara tiba-tiba menangis dengan kuat kerana mahu mengikut pengasuhnya.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shariffuddin Yusof, berkata bagaimanapun mangsa kemudian senyap dan terus tidak sedarkan diri kemungkinan akibat tercekik.

Katanya, penyelia taska terbabit kemudian terus membawa mangsa yang masih bernafas ke Klinik Kupang sebelum dirujuk ke Hospital Baling.

“Bagaimanapun sebaik tiba di hospital, mangsa disahkan meninggal dunia dan pemeriksaan mendapati tiada kesan luka atau lebam di badannya.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyan (HSB) Alor Setar untuk bedah siasat,” katanya.

Berita Harian X