Sabtu, 6 April 2019 | 11:16am

Sembunyi dadah dalam kotak rokok

KAPIT: Taktik seorang penagih dadah menyembunyikan syabu di dalam kotak rokok bagi mengaburi mata pihak berkuasa, tidak menjadi apabila dia ditahan polis di Jalan Temenggong Jugah di sini.

Suspek ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kapit 5.45 pagi Selasa lalu, selepas dilihat di tepi jalan dalam keadaan mencurigakan.

Ketua Polis Daerah Kapit, Deputi Superintenden Freddy Bian, berkata pemeriksaan lanjut menemui empat tiub straw berwarna biru mengandungi ketulan kristal disyaki syabu yang dimiliki suspek.

“Dadah seberat 0.44 gram itu disembunyikan di dalam kotak rokok yang diletakkan pada poket seluar dipakainya.

“Suspek ditahan dan dadah dirampas untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi.

Freddy berkata, siasatan awal juga mendapati suspek sudah ditangkap buat kali kelima.

“Malah, dia mengaku dadah dijumpai miliknya dan diperoleh daripada rakan penagih tempatan.

“Dadah yang dirampas juga untuk kegunaan sendiri dan dijual kepada penagih lain,” katanya.

Freddy berkata, ujian air kencing mendapati suspek positif dadah.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta sama,” katanya.

Berita Harian X