Jumaat, 5 April 2019 | 2:30pm

Langgar syarat BNM, syarikat didenda RM18 juta

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini, hari ini mengenakan denda RM18 juta terhadap syarikat Suria Strategic Energy Resources Sdn Bhd (SSER) yang juga anak syarikat Kementerian Kewangan (MoF), atas kesalahan gagal mematuhi syarat Bank Negara Malaysia (BNM).

Hakim Manira Mohd Noor memutuskan hukuman itu sebaik wakil syarikat, Kishan Narendra Jasani, mmebuat pengakuan bersalah selepas enam pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah.

SSER didenda RM3 juta bagi setiap pertuduhan dengan jumlah keseluruhan RM18 juta.

Mengikut pertuduhan pertama sehingga ketiga, SSER didakwa gagal mematuhi syarat yang dikenakan di bawah kelulusan bertulis bertarikh 13 April 2017 yang diberikan oleh BNM di bawah Subseksyen 214(2) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 bagi memperoleh pinjaman mata wang asing daripada bukan pemastautin.

SSER didakwa mengeluarkan dana pinjaman daripada The Export-Import Bank of China tidak berdasarkan kemajuan projek Multi-Product Pipeline (MPP), gagal memastikan amalan tadbir urus yang baik dan efektif bagi pengurusan pelaksanaan projek MPP dan gagal memperoleh kelulusan bertulis daripada BNM bagi perubahan maklumat berkaitan garis masa (timeline) pelaksanaan projek MPP.

Bagi pertuduhan keempat sehingga keenam, SSER didakwa gagal mematuhi syarat BNM dengan mengeluarkan dana pinjaman daripada The Export-Import Bank of China tidak berdasarkan kemajuan projek Trans-Sabah Gas Pipeline (TSGP), gagal memastikan memastikan amalan tadbir urus yang baik dan efektif bagi pengurusan pelaksanaan projek TSGP, dan gagal memperoleh kelulusan bertulis daripada BNM bagi perubahan maklumat berkaitan garis masa pelaksanaan projek TSGP.

Semua kesalahan yang dilakukan di tingkat 9, Menara 1 Dutamas, Solaris Dutamas, No 1, Jalan Dutamas 1, di sini antara April 2017 dan Mei 2018 didakwa mengikut subseksyen 214(9) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda sehingga RM50 juta atau kedua-duanya.

Syarikat itu didakwa mengikut Subseksyen 214(9) akta sama dan boleh dihukum di bawah subseksyen sama iaitu penjara maksimum 10 tahun atau denda maksimum RM50 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Manira dalam penghakimannya, berkata kesalahan dilakukan SSER boleh memberi kesan kepada kewangan negara dan perlu menjadi iktibar supaya tidak berulang.

Terdahulu, peguam Lawrence Tan yang mewakili syarikat dalam rayuannya memohon hukuman ringan berikutan ia adalah kesalahan pertama syarikat selain pengakuan bersalah yang menjimatkan kos mahkamah.

Tan memaklumkan syarikat itu kini dikendalikan pengurusan baharu.

Sementara itu, Pegawai Pendakwa BNM, Nurdeenie Abdul Rashid, memohon hukuman mahkamah mengambil kira kepentingan awam dan negara walaupun syarikat itu selaku orang kena saman (OKS) turut diambil kira.

“OKS adalah syarikat milik penuh Kementerian Kewangan dan kerajaan Malaysia melantik SSER sebagai pemilik dan peneraju dalam melaksanakan projek TSGP dan MPP.

“Tanggungjawab melaksanakan projek itu diamanahkan rakyat memandangkan pembayaran hutang projek menggunakan hasil negara.

“Malangnya OKS gagal melaksanakan amanah itu dan bertindak tanpa mengambil kira kepentingan rakyat apabila membayar jumlah besar kepada China Petroleum Pipeline Engineering Co Ltd (CPP) sedangkan projek belum dapat dilihat,” katanya.

Dua projek berasingan iaitu MPP dan TSGP yang mana kedua-dua projek telah diluluskan Kabinet pada 27 Julai 2016. Kedua-dua projek bernilai RM9.4 bilion itu diberikan kepada Biro Saluran Paip Petroleum China (CPPB) pada 1 November 2016.

SSER dikatakan sudah membuat bayaran sebanyak RM8.3 bilion ataupun 88 peratus daripada kos pembinaan RM9.4 bilion, walaupun kemajuan kerja (yang belum diaudit) dianggar pada tahap 13 peratus.

MPP membabitkan projek saluran paip petroleum pelbagai produk sepanjang 600 kilometer yang menghubungkan Melaka dan Port Dickson, Negeri Sembilan ke Jitra, Kedah, dengan kos 4.53 bilion yuan dan RM2.53 bilion atau kira-kira RM5.35 bilion.

Berita Harian X