Khamis, 4 April 2019 | 8:08pm

Rayuan Najib umpama buat kecoh terhadap perkara remeh

PUTRAJAYA: Rayuan Datuk Seri Najib Razak terhadap tindakan pendakwaan menarik balik sijil pindah kes bagi tujuh tuduhan membabitkan dana RM42 juta SRC International Sdn Bhd dihadapinya, umpama membuat kecoh dalam perkara remeh-temeh.

Peguam Negara, Tommy Thomas, dalam hujahan berkata ia adalah kerana semua pihak sedia maklum perbicaraan kes pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram terhadap Najib akhirnya perlu didengar di Mahkamah Tinggi.

Katanya, apa yang menjadi pertikaian dalam rayuan itu adalah berhubung laluan yang diambil pihak pendakwaan dalam proses membawa kes itu dari Mahkamah Sesyen untuk dibicarakan di Mahkamah Tinggi.

“Pertikaian dalam perkara ini hanya laluan yang kami ambil ke destinasi sama iaitu akhirnya Mahkamah Tinggi,” katanya ketika berhujah terhadap tiga rayuan interlokutori dikemukakan Najib di Mahkamah Persekutuan di sini hari ini.

Tommy berkata, Peguam Negara mempunyai kuasa tersurat mengikut peruntukan undang-undang untuk mengemukakan sijil memindahkan kes ke Mahkamah Tinggi dan kuasa tersurat untuk menarik balik sijil berkenaan.

Najib hadir bagi mendengar prosiding empat rayuan interlokutori beliau di Mahkamah Persekutuan, Putrajaya. - NSTP/Mohd Fadli Hamzah

Sementara itu, Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib, berhujah anak guamnya sepatutnya dilepas tanpa dibebaskan selepas sijil pindah kes itu ditarik balik pendakwaan.

Katanya, tindakan pendakwaan menarik balik sijil itu menyebabkan tuduhan terhadap anak guamnya tidak wujud lagi.

“Mungkin disebabkan oleh ego, pendakwaan tidak memohon di Mahkamah Tinggi untuk memulakan semula (pendakwaan),” katanya.

Seorang lagi peguam Najib, Harvidnerjit Singh berkata dakwaan berhubung perbelanjaan melalui kad kredit dan cek anak guamnya terkandung dalam ucapan pembukaan pendakwaan pada hari pertama perbicaraan kes SRC International itu semalam, bukan sebahagian daripada tuduhan yang dikenakan terhadap Najib.

Beliau berkata, pernyataan pembukaan itu dilaporkan secara meluas oleh media tempatan dan antarabangsa, dan ia menyebabkan prejudis terhadap anak guamnya.

Katanya, ia adalah rasional di sebalik permohonan pihaknya untuk mendapatkan perintah mahkamah supaya media dan orang awam dilarang daripada membicarakan mengenai merit kes tertuduh.

Bagaimanapun, Tommy berkata bukan tugas mahkamah untuk menyediakan arahan terbabit kepada media dan orang awam bagi pihak peguam bela.

Najib merayu dalam permohonannya mendapatkan perintah melarang media dan orang ramai daripada membincangkan dan menerbitkan kenyataan mengenai merit tujuh tuduhan kesnya; perintah mendapatkan beberapa dokumen tambahan termasuk pernyataan saksi sebelum perbicaraan bermula; dan rayuan mengenai tindakan pendakwaan menarik balik sijil pindahan kes daripada Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.

Prosiding di hadapan panel tujuh hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Ketua Hakim Negara, Tan Sri Richard Malanjum bersambung esok.

Berita Harian X