Rabu, 3 April 2019 | 11:27pm
Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Mohd Zaidi Abdullah. - Foto Recqueal Raimi
Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Mohd Zaidi Abdullah. - Foto Recqueal Raimi

Anak ugut tembak bapa sendiri

KOTA BELUD: Berang ditegur kerana membuat bising, seorang lelaki tergamak mengugut menembak bapanya sendiri dengan senapang di Kampung Tempasuk, di sini, Ahad lalu.

Dalam kejadian jam 9.30 pagi, suspek 32 tahun mengancam dengan senapang buatan sendiri di kepala mangsa sambil mengatakan ‘saya tembak kau nanti’ sebanyak dua kali.

Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Mohd Zaidi Abdullah, berkata suspek yang positif dadah jenis syabu ditahan pada hari sama selepas polis menerima laporan berhubung kejadian itu.

Katanya, siasatan awal mendapati suspek membuat bising dengan tiba-tiba menjerit di ruang tamu rumah mereka sebelum ditegur bapanya untuk menghentikan jeritan itu.

“Suspek tiba-tiba berang dan mengancam sebelum mengambil selaras senapang bakakuk lalu mengacukan kepala mangsa sambil mengulangi ayat untuk menembaknya.

“Mangsa yang cemas melihat anaknya tidak tentu arah, segera melarikan diri dan menuju ke balai polis untuk membuat aduan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Zaidi berkata, pemeriksaan ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis syabu.

“Pihak polis turut merampas senjata bakakuk terbabit dan sebutir peluru jenis ‘Ball Bearing’ (BB) yang juga bahan buatan sendiri.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 8(a) Akta Senjata 1970,” katanya.

Berita Harian X