X
Rabu, 3 April 2019 | 7:01pm
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Ismadi Borhan (dua dari kiri) menunjukkan gambar suspek yang ditahan berkaitan kes bunuh seorang lelaki warga Bangladesh dibungkus menggunakan plastik dan kain yang ditemui berhampiran sebuah kedai di Bandar Kinrara, Serdang, kelmarin. - Foto NSTP
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Ismadi Borhan (dua dari kiri) menunjukkan gambar suspek yang ditahan berkaitan kes bunuh seorang lelaki warga Bangladesh dibungkus menggunakan plastik dan kain yang ditemui berhampiran sebuah kedai di Bandar Kinrara, Serdang, kelmarin. - Foto NSTP

Mayat dibawa guna Grab sebelum dibuang

SERDANG: Mayat warga Bangladesh yang ditemui dalam keadaan dibungkus selimut dan plastik, Isnin lalu, dipercayai dibawa sejauh kira-kira 10 kilometer menggunakan perkhidmatan Grab sebelum dibuang.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Ismadi Borhan, berkata ia berdasarkan pengakuan suspek yang ditahan bersama seorang rakan senegara, kurang 48 jam selepas penemuan mayat itu di tepi kedai perkakasan pertukangan dekat Jalan BK 2/2, Bandar Kinrara, di sini.

Beliau berkata, suspek dikatakan memberitahu pemandu Grab terbabit bahawa ‘bungkusan’ berkenaan dibawa kerana mahu berpindah, pada malam Ahad lalu.

“Suspek dan mangsa adalah rakan serumah serta rakan sekerja. Suspek mengaku membunuh mangsa ketika tidur di kediaman mereka di Taman Lestari Perdana, dengan menghentak kepalanya beberapa kali menggunakan senjata tumpul, berat dan keras.

“Selepas mayat dibuang, suspek tidak pulang ke rumah, sebaliknya menumpang di rumah rakan senegara.

“Kedua-dua mereka yang bekerja sebagai buruh binaan ditahan di kawasan Serdang, semalam,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang, di sini, hari ini.

Ismadi berkata, motif kejadian dipercayai kerana suspek tidak berpuas hati terhadap mangsa atas masalah peribadi.

Beliau berkata, bedah siasat ke atas mayat mangsa menemui kesan kecederaan di bahagian kepala dan punca kematian ialah kecederaan akibat hentakan objek tumpul.

“Kedua-dua mereka direman hingga 8 April ini untuk membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Kertas siasatan akan dilengkapkan sebelum dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk pertuduhan,” katanya.

Isnin lalu, seorang penyelia pembersihan yang melakukan kerja di kawasan hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 1 Bandar Kinrara menjumpai plastik berwarna hitam mengandungi mayat, kira-kira jam 11.10 pagi.

Mayat berkenaan dibungkus dengan kain selimut berwarna merah bercorak bunga dan plastik berwarna jernih.

Berita Harian X