Isnin, 1 April 2019 | 3:46pm

Mayat dibungkus plastik dibuang tepi kedai

SERDANG: Satu mayat orang dewasa ditemui dalam plastik hitam yang dibuang di tepi sebuah kedai dekat Bandar Kinrara, Puchong, di sini, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Ismadi Borhan, berkata penemuan mayat yang belum diketahui jantina itu dimaklumkan oleh orang awam yang melakukan kerja pembersihan di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 1 Bandar Kinrara, pada jam 11.10 pagi.

Katanya, ketika ditemui mayat itu berada dalam keadaan berbungkus dengan plastik jernih dan kain selimut sebelum dimasukkan ke dalam plastik hitam dan ditinggalkan di lokasi berkenaan.

“Setakat ini, kita belum mempunyai maklumat lanjut tetapi, mayat dipercayai orang dewasa.

“Pihak Forensik Selangor sudah dipanggil untuk membuat siasatan di lokasi mayat ditemui,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, mayat dihantar Hospital Serdang untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Berita Harian X