Ahad, 31 March 2019 | 12:27pm

Guru rugi RM113,000 dipercayai ditipu Macau Scam

KUANTAN: Seorang guru wanita kerugian RM113,000 dipercayai diperdaya sindiket Macau Scam yang mendakwa kononnya mangsa terbabit kes pengubahan wang haram.

Mangsa berusia 51 tahun dikatakan menerima panggilan daripada suspek yang menyamar sebagai pegawai polis dan kakitangan bank pada 28 Februari lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintenden Mohd Wazir Mohd Yusof, berkata suspek mendakwa mangsa terbabit kes pengubahan wang haram berjumlah RM1.5 juta dan perlu membayar sejumlah wang jaminan untuk mengelak diambil tindakan undang-undang.

“Seorang suspek wanita memperkenalkan diri sebagai kakitangan bank dan memaklumkan kononnya mangsa ada tunggakan bayaran pinjaman.

“Suspek kemudian menyambung panggilan kepada ‘Sarjan Wong’ yang mendakwa mangsa terbabit kes pengubahan wang haram berjumlah RM1.5 juta pula. Panggilan seterusnya disambungkan kepada ‘Inspektor Narita’ yang kononnya boleh membantu mangsa menyelesaikan kes berkenaan.

“Mangsa yang percaya dengan dakwaan itu kemudian membuat pinjaman bank berjumlah RM80,000 untuk membayar wang jaminan seperti diarahkan suspek,” katanya.

Mohd Wazir berkata, pada 6 Mac lalu, guru itu dihubungi ‘Inspektor Narita’ yang mendakwa akaun Tabung Haji dan bank milik mangsa akan dibekukan Bank Negara Malaysia (BNM).

“Suspek meminta mangsa pergi ke bank terbabit untuk menukar nombor telefon dengan mendaftarkan nombor telefon lain yang diberikannya. Mangsa mengikut segala arahan diberikan ‘Inspektor Narita’ kerana bimbang dikenakan tindakan,” katanya.

Beliau berkata, selepas mangsa melakukan proses terbabit, ‘Inspektor Narita’ melarangnya melakukan sebarang transaksi selama tujuh hari kononnya untuk proses siasatan lanjut.

Bagaimanapun pada Jumaat lalu, katanya, mangsa mulai curiga sebelum menghubungi rakannya yang bekerja sebagai penolong pengurus bank dan hasil semakan mendapati berlaku pemindahan wang daripada akaunnya ke dalam akaun lain berjumlah RM113,000.

Susulan itu, beliau berkata, mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, semalam, dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Berita Harian X