Sabtu, 30 March 2019 | 10:22am

'Nak buat macam mana lagi'

KUCHING: Kempen kesedaran berterusan menggunakan pelbagai kaedah dilakukan oleh pihak berkuasa untuk mengingatkan orang ramai mengenai bahaya penipuan atas talian atau ‘Macau Scam’.

Malah ramai dalam kalangan masyarakat yang memahami bagaimana jenayah itu berlaku turut membantu menyebarkan maklumat untuk mencegahnya, namun usaha itu seolah-olah tidak memadai apabila masih ada yang terpedaya dengan sindiket penipuan itu.

Terbaru, tiga laporan diterima semalam dengan satu daripadanya di Kuching dan dua di Miri membabitkan kerugian berjumlah RM80,000.

Dalam kes pertama di sini, seorang wanita berusia 58 tahun yang juga pesara kerajaan kerugian sebanyak 54,000 selepas diperdaya dengan panggilan ahli sindiket itu yang menyamar sebagai pegawai polis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Sarawak, Superintendan Mustafa Kamal Gani Abdullah, berkata bimbang dengan dakwaan terbabit dalam kes dadah dan pengubahan wang haram, wanita terbabit bersetuju membayar sejumlah wang bagi menyelesaikan kes itu.

Beliau berkata, kes kedua di Miri pula membabitkan seorang juru perunding yang kerugian RM5,992 selepas terpedaya apabila sindiket itu mendakwa dia melarikan diri dari membayar cukai.

Katanya, kes ketiga juga di Miri menyebabkan seorang ahli perniagaan kerugian sebanyak RM19,999 apabila terpedaya selepas menerima panggilan mendakwa dia memiliki hutang kad kredit tertunggak untuk transaksi di Semenanjung Malaysia.

“Setiap hari, ada saja berita, artikel malah video mengenai bagaimana modus operandi ‘Macau Scam’ serta cara bagaimana untuk mencegahnya kita siarkan di pelbagai media.

“Malangnya masih ada yang tidak pernah langsung mendengar atau mengetahui mengenai wujudnya penipuan ‘Macau Scam’ itu,” katanya.

Bagaimanapun, Mustafa berkata, pihaknya tidak akan berhenti memberi peringatan agar seluruh rakyat Sarawak menyedari bahawa panggilan yang mereka terima antaranya daripada polis, mahkamah, Jabatan Pengangkutan Jalan atau bank yang meminta membayar sejumlah wang bagi menyelesaikan sesuatu kes, adalah panggilan palsu.

“Polis mahupun agensi lain serta pihak bank tidak akan meminta sesiapa menyelesaikan sesuatu kes dengan membuat pembayaran melalui akaun bank.

“Jika menerima panggilan seperti itu, pergilah ke balai polis atau mahkamah atau mana-mana agensi yang diberitahu oleh penjenayah itu untuk mendapatkan pengesahan,” katanya.

Berita Harian X