Isnin, 25 March 2019 | 3:53pm

75,000 pengguna terjejas bekalan air

SIMPANG RENGGAM: Kira-kira 75,000 pengguna di Simpang Renggam, Ayer Hitam, Kulai dan Utara Pontian terjejas bekalan air berikutan penutupan Loji Rawatan Air (LRA) Simpang Renggam akibat pencemaran ammonia di Sungai Benut bermula kelmarin.

Keadaan ini berlaku berikutan ban tanah di kolam air larutan resapan (lecet) di Tapak Pelupusan Sampah CEP Renggam pecah akibat tidak dapat menampung takungan air selepas hujan lebat sehari sebelum kejadian.

Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik, berkata akibat kejadian itu, aliran air sampah memasuki Sungai Benut sehingga menyebabkan pencemaran ammonia yang teruk, sekali gus memaksa SAJ Ranhill menutup bekalan air.

Beliau yang juga Menteri Pendidikan berkata, penutupan LRA Simpang Renggam berikutan pencemaran ammonia semakin kerap berlaku sejak akhir-akhir ini dan dipercayai ada pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan melepaskannya ke dalam Sungai Benut ini.

“Untuk itu, saya menggesa tindakan menutup pusat pelupusan sampah ini dilakukan dengan segera supaya ia tidak terus berlaku dan berkemungkinan akan menyebabkan keadaan yang lebih teruk pada masa akan datang.

“Disamping itu, beberapa punca lain seperti ternakan ayam yang diusahakan di bahagian hulu sungai ini turut dikenal pasti sebagai punca sampingan berlakunya pencemaran ini,” katanya.

Maszlee berkata demikian kepada media selepas melawat Loji Rawatan Air (LRA) Simpang Renggam di Kampung Kolam Air dekat sini hari ini.

Sementara itu, Maszlee berkata tindakan tegas perlu diambil oleh semua agensi berkaitan supaya kejadian ini tidak terus berlaku sehingga menjejaskan aktiviti harian penduduk di kawasan terbabit.

“Kerjasama dengan semua agensi di peringkat kerajaan negeri dan pusat sudah dilaksanakan bagi membawa cadangan kecemasan khas dapat dilakukan bagi menyelesaikan isu ini,” katanya.

Pada masa sama, Maszlee turut menjunjung kasih titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar yang mahu pihak berkuasa segera menyiasat pencemaran yang berlaku di Sungai Ulu Benut dan Sungai Machap ini selepas beliau menghadap sembah baginda pagi tadi.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar Johor, Datuk Dr Mohammad Ezanni Mat Salleh, yang turut hadir berkata, pihaknya sudah menjalankan siasatan semalam dan sampel di sungai berkenaan diambil untuk mengenal pasti punca pencemaran.

Menurutnya, sampel akan diserahkan kepada Jabatan Kimia untuk dianalisa dan kes disiasat mengikut Seksyen 31 Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Seksyen 25 akta yang sama selain mengeluarkan empat kompaun dengan setiap satu kompaun berjumlah RM2,000.

Maszlee (lima dari kiri) melihat keadaan Sungai Benut ketika melawat Loji Rawatan Air (LRA) Simpang Renggam di Kampung Kolam Air di Simpang Renggam, Johor. - NSTP/Adnan Ibrahim
Maszlee (lima dari kiri) melihat keadaan Sungai Benut ketika melawat Loji Rawatan Air (LRA) Simpang Renggam di Kampung Kolam Air di Simpang Renggam, Johor. - NSTP/Adnan Ibrahim
Maszlee (dua dari kiri) melihat keadaan air Sungai Benut ketika melawat Loji Rawatan Air (LRA) Simpang Renggam di Kampung Kolam Air di Simpang Renggam, Johor. - NSTP/Adnan Ibrahim
Maszlee (dua dari kiri) melihat keadaan air Sungai Benut ketika melawat Loji Rawatan Air (LRA) Simpang Renggam di Kampung Kolam Air di Simpang Renggam, Johor. - NSTP/Adnan Ibrahim
Berita Harian X