Ahad, 24 March 2019 | 4:42pm
Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor, Datuk Dr Mohammad Ezanni Mat Salleh. - Foto BERNAMA
Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor, Datuk Dr Mohammad Ezanni Mat Salleh. - Foto BERNAMA

PhD saya sah - Pengarah JAS Johor

JOHOR BAHRU: Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor, Datuk Dr Mohammad Ezanni Mat Salleh, menjadi sasaran terbaharu tohmahan segelintir pihak kononnya memiliki ijazah doktor falsafah (PhD) palsu.

Segelintir pengguna media sosial membuat tuduhan itu termasuk menularkan dakwaan itu berikutan kes pencemaran Sungai Kim Kim di Pasir Gudang, baru-baru ini, yang sudah pun diselesaikan.

Mohammad Ezanni, yang hadir pada prosiding mahkamah kes pencemaran Sungai Kim Kim, hari ini, menunjukkan salinan asal ijazah PhD dari Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) sebagai bukti.

Katanya beliau memiliki PhD dalam bidang Kejuruteraan Sistem Elektrik dan menamatkan pengajian pada 8 September 2015.

“Hari ini saya ingin menunjukkan surat pengesahan daripada Pejabat Timbalan Naib Canselor UniMAP yang menunjukkan saya memiliki PhD yang sah daripada universiti terbabit.

“Semakan pangkalan data Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) turut menunjukkan nama saya tersenarai pemegang akademik PhD dalam bidang berkenaan,” katanya pada sidang akhbar perkarangan Kompleks Mahkamah Johor Bahru, hari ini.

Mohammad Ezanni memberi reaksi kepada dakwaan yang viral di media sosial sejak dua minggu lalu, kononnya beliau memiliki PhD palsu selepas kejadian pencemaran pembuangan bahan sisa kimia berbahaya di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, yang mendapat liputan meluas media.

Susulan berita palsu itu, Mohammad Ezanni membuat laporan polis di Balai Polis Taman Pelangi di sini pada 15 Mac lalu.

“Saya akan mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang menyebarkan fitnah berkenaan yang jelas menjejaskan maruah dan reputasi saya sebagai penjawat awam,” katanya.

Mengenai bidang pengajian yang tidak sama dengan pekerjaannya, Mohammad Ezanni berkata beliau adalah penerima biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

“Saya terikat dengan kontrak yang mana JPA menempatkan saya sebagai Pegawai Kawalan Alam Sekitar sejak 2004 selepas menamatkan Ijazah Sarjana Muda sebelum menyambung pengajian.

“Saya menasihatkan orang ramai yang ingin menyebarkan berita perlu menyemak terlebih dahulu kesahihan sesuatu maklumat itu sebelum disebarkan,” katanya.

Berita Harian X