Jumaat, 22 March 2019 | 5:50pm
ANTARA warga asing yang ditahan dalam operasi bersepadu membabitkan agensi penguatkuasaan di premis perniagaan di Sungai Besar. - Foto ihsan pembaca
ANTARA warga asing yang ditahan dalam operasi bersepadu membabitkan agensi penguatkuasaan di premis perniagaan di Sungai Besar. - Foto ihsan pembaca

16 warga asing ditahan di Sungai Besar

SUNGAI BESAR: Seramai 16 warga asing ditahan dalam operasi bersepadu membabitkan agensi penguatkuasaan di premis perniagaan di daerah ini, kelmarin.

Operasi bermula dari jam 10 pagi hingga 3 petang itu memberi tumpuan kepada premis kedai runcit, kedai permaidani, kedai telekomunikasi dan sebuah pusat cuci kereta automatik.

Operasi bersepadu itu membabitkan penguatkuasa Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB), Jabatan Imigresen Selangor, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Setiausaha MDSB, Mohd Muktafi Sarpan berkata, keseluruhan pihaknya memeriksa seramai 30 warga asing sepanjang operasi dijalankan.

“Seramai 15 lelaki dan seorang wanita ditahan iaitu enam lelaki warga Myanmar, empat lelaki warga Pakistan, tiga lelaki warga Bangladesh, seorang lelaki warga Nepal dan India serta seorang wanita warga Indonesia.

“Kesemua mereka berusia dalam antara 25 hingga 45 tahun kemudian dibawa ke Pejabat Bahagian Penguatkuasa Imigresen Selangor untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, pihak KPDNHEP turut mengenakan tindakan kompaun terhadap dua premis, manakala dua premis lagi disita MDSB.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Deputi Superintendan Lim Chee Khoon mengesahkan menerima laporan mengenai operasi bersepadu berkenan.

“Kesemua yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 51(3)(a) Akta Imigresen 1959/63 dan 51(5)(b) akta sama untuk siasatan lanjut,” katanya.

Berita Harian X