Jumaat, 22 March 2019 | 4:03pm
KETUA Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Mohammad Hamdan Wahid. - Foto BERNAMA
KETUA Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Mohammad Hamdan Wahid. - Foto BERNAMA

Bomba terima hampir 6,000 panggilan kebakaran akibat cuaca panas bulan ini

PUTRAJAYA: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menerima 5,823 panggilan di seluruh negara pada bulan ini berkaitan kebakaran akibat cuaca panas.

Ketua Pengarahnya, Datuk Mohammad Hamdan Wahid, berkata jumlah panggilan itu meningkat mendadak berbanding Januari lalu yang hanya merekodkan 1,941 panggilan disebabkan masalah sama.

Beliau berkata peningkatan itu amat membimbangkan dan memerlukan penguatkuasaan serta kesedaran tinggi daripada orang ramai, terutama mengenai kegiatan pembakaran terbuka.

“Justeru, saya meminta orang ramai supaya menghentikan pembakaran terbuka termasuk pembakaran hutan, kebun, belukar dan sampah pada musim kemarau ini,” katanya pada Majlis Perhimpunan Bulanan JBPM bagi Mac 2019 di sini, hari ini.

Selain itu, Mohammad Hamdan berkata JBPM sentiasa bersiap siaga bagi menangani kebakaran hutan dan tinjauan udara yang dilakukan di Lembah Klang dua hari lalu mendapati kebakaran kritikal terjadi di

kawasan Banting, Selangor dan Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE).

“Kebakaran di lebuh raya ELITE dapat kita tangani, manakala di kawasan Banting yang membabitkan tanah gambut, JBPM melakukan kerja ‘water bombing’ kerana kawasan itu jauh dari jalan raya, sekali gus menyukarkan jentera bomba untuk memasuki kawasan itu.

“Hujan semalam juga membantu memadamkan kebakaran di tanah gambut berkenaan, namun masih terdapat satu atau dua lokasi yang masih terbakar dan kerja memadamkan kebakaran akan diteruskan sehingga selesai,” katanya.

Pada majlis itu, JBPM mengumumkan kenaikan pangkat, penempatan dan pertukaran lapan pegawainya berkuat kuasa 15 Mac lalu.

Selain itu, jabatan terbabit turut mencatat sejarah tersendiri apabila buat pertama kalinya melantik seorang wanita memegang jawatan Pengarah JBPM iaitu Sayani Saidon, yang sebelum ini bertugas sebagai Timbalan Pengarah JBPM Perak sebelum dinaikkan pangkat sebagai Pengarah JBPM Kedah.

Sementara itu, Mohammad Hamdan berkata beliau yakin pegawai yang dinaikkan pangkat mampu menggalas tanggungjawab diberikan berlandaskan pengalaman kerja dan beliau gembira kerana pemilihan wanita memegang jawatan tertinggi dalam JBPM adalah berteraskan 30 peratus kuota wanita (dalam pentadbiran) seperti yang diumumkan kerajaan sebelum ini.

Selain itu, beliau turut memaklumkan, Pusat Gerakan Jawatankuasa Pengurusan Bantuan Bencana dan Pusat Rawatan Awal (Medic Base) di Stadium Tertutup Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) ditutup secara rasmi, pada 20 Mac lalu.

Setakat ini, katanya, JBPM tidak menerima sebarang kes baharu berkenaan pencemaran bahan kimia di Sungai Kim-Kim, Pasir Gudang, namun tetap bersedia dan mengambil tindakan jika menerima aduan daripada orang ramai.

Berita Harian X