Jumaat, 22 March 2019 | 12:05pm

Beli telefon bimbit, yang dapat beg kunci

JERANTUT: Beli IPhone XS Max namun dapat beg kunci kecil. Itu yang terjadi kepada seorang peniaga, di sini selepas kerugian RM3,500 akibat ditipu seorang wanita gara-gara mahu membeli telefon pintar dengan harga murah.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof, berkata kejadian bermula pada 15 Mac lalu apabila mangsa wanita itu menerima mesej di aplikasi WhatsApp daripada suspek.

“Suspek mendakwa dia adalah pelanggan mangsa dan pernah membeli alat solek daripada peniaga berkenaan tahun lalu.

“Pada masa sama, suspek turut memaklumkan kepada mangsa dia ada menjual telefon pintar jenis Iphone,” katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Mohd Wazir berkata, mangsa yang tinggal di Taman Temin Utama kemudian berminat untuk membeli dua buah Iphone XS Max dan dimaklumkan oleh suspek harganya adalah RM3,000 seunit.

“Suspek meminta mangsa membuat bayaran deposit sebanyak RM3,500 terlebih dahulu, sebelum telefon pintar berkenaan dihantar kepadanya menggunakan khidmat penghantaran.

“Pada keesokan harinya, mangsa membuat dua kali pindahan wang ke dalam satu akaun yang diberikan oleh suspek menjadikan jumlah keseluruhan RM3,500.

“Suspek juga mendakwa nombor akaun yang diberikan olehnya itu adalah milik suaminya,” katanya.

Beliau berkata, Rabu lalu kira-kira jam 2 petang, mangsa menerima satu bungkusan yang dihantar melalui kurier oleh suspek.

“Setelah mangsa membuka bungkusan berkenaan terdapat satu beg kecil kunci dan bukan telefon pintar yang pengadu beli,” katanya.

Beliau berkata, mangsa yang menyedari tertipu dengan penjual itu membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jerantut, di sini, semalam.

“Susulan laporan dibuat mangsa, polis membuka kertas siasatan kes ini mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan,” katanya.

Berita Harian X