Rabu, 20 March 2019 | 6:21pm
Dari kiri, EXCO Kesihatan, Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar negeri, Phee Boon Poh, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayan Lepas, Azrul Mahathir Aziz, Prof Madya Dr Zurinawati Mohi, isteri kepada rakyat Malaysia yang ditembak, Mohd Nazril Hisham Omar di Christchurch, New Zealand. - Foto ihsan Azrul Mahathir Aziz

Nazril stabil selepas pembedahan kali ketiga

SHAH ALAM: Mohd Nazril Hisham Omar, seorang daripada tiga rakyat Malaysia yang menjadi mangsa serangan pengganas di Masjid An-Noor, Christchurch, New Zealand, Jumaat lalu, dilaporkan dalam keadaan stabil dan sudah sedar selepas menjalani pembedahan kali ketiga.

Isterinya, Dr Zurinawati Mohi, 48, berkata selepas pembedahan di pinggangnya yang dipercayai terkena peluru dijalankan kelmarin, Mohd Nazril, 46, banyak menunjukkan perubahan positif.

“Alhamdulillah, selepas pembedahan kali ketiga ini suami banyak menunjukkan perubahan yang baik. Suami juga berada dalam keadaan sedar namun masih sedikit ‘mamai’ berikutan kesan ubat.

“Beliau kini boleh bercakap, namun tidak banyak berikutan masih penat. Jika dia cakap kita dengar sahaja namun kadang-kadang agar sukar untuk difahami.

“Saya pun tidak mahu memaksa untuk dia bercakap. Biar suami berehat dan betul-betul sembuh dahulu. Bagaimanapun, dia menunjukkan banyak perubahan yang positif itu sudah membuat kami sekeluarga bersyukur,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Pada masa sama, Zurinawati berkata, suaminya itu baharu sahaja menjalani rawatan fisioterapi, pagi tadi.

“Suami saya menunjukkan tindak balas walaupun hanya melakukan pergerakan ringan seperti yang disuruh oleh pakar perubatan yang merawatnya,” katanya.

Zurinawati yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Puncak Alam berkata, suaminya masih trauma dengan insiden itu.

“Suami saya kelihatan letih dan sukar untuk tidur. Dia seperti tidak mahu tidur mungkin berikutan tidak mahu berseorangan. Dia juga dilihat tidak mahu berenggang. Jika saya tiada di sebelahnya walaupun sekejap, dia akan mula mencari saya,” katanya.

Zurinawati berkata, beliau dan suaminya itu tidak putus menerima kunjungan daripada orang ramai termasuk Mufti dan Imam dari Australia.

“Mereka datang menjenguk suami dan berdoa untuk kesihatannya. Ada juga yang datang membawa air zam-zam selain memberi kata-kata semangat kepada kami,” katanya.

Mohd Nazril adalah seorang daripada tiga rakyat Malaysia yang cedera dalam insiden tembakan di Christchurch, New Zealand, Jumaat lalu.

Selain Mohd Nazril, Rahimi Ahmad, 39, dan Mohd Tarmizi Shuib, 42, juga sedang dirawat di Hospital Christchurch dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Bagaimanapun, anak lelaki Mohd Tarmizi, Mohd Haziq, 17, dilaporkan hilang dan gagal ditemui selepas kejadian tembakan itu.

Berita Harian X