Rabu, 20 March 2019 | 12:55pm

Penganggur berdepan hukuman mati, kes bunuh Nur Aisyah Aleya

LANGKAWI: Seorang penganggur didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan membunuh Nur Aisyah Aleya Abdullah, kanak-kanak berusia tiga tahun, bulan lalu.

Ramlan Abdul Rashid, 37, didakwa menyebabkan kematian terhadap kanak-kanak itu di Blok G-3-4 Kuarters Hospital Langkawi di sini antara 9 dan 10 pagi, pada 23 Februari lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati mandatori jika sabit kesalahan.

Tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada Ramlan.

Majistret Mohd Ridzwan Salleh menetapkan 22 Mei ini untuk sebutan kes sementara menunggu laporan forensik dan bedah siasat.

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Qatrin Nada Harun sementara tertuduh tidak diwakili peguam.

Awal bulan ini media melaporkan kehilangan seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun yang diserahkan ibunya untuk dijaga oleh sepasang suami isteri di sini.

Susulan itu, polis menahan pasangan suami isteri itu dan siasatan polis membawa kepada penemuan tengkorak serta cebisan rambut kanak-kanak itu di dalam sebuah gaung di Gunung Raya di sini. – BERNAMA

Ramlan (tengah) didakwa di Mahkamah Majistret di Langkawi, hari ini atas tuduhan membunuh Nur Aisyah Aleya, bulan lalu. - NSTP/Hamzah Osman
Ramlan (tengah) didakwa di Mahkamah Majistret di Langkawi, hari ini atas tuduhan membunuh Nur Aisyah Aleya, bulan lalu. - NSTP/Hamzah Osman
Berita Harian X