Rabu, 20 March 2019 | 10:26am

Polis tembak lelaki ada 32 rekod jenayah

NIBONG TEBAL: Selepas hampir setahun diburu kerana mempunyai 32 pelbagai kesalahan jenayah, seorang lelaki akhirnya ditembak mati polis di Jalan Tasek Valdor, Nibong Tebal, pagi tadi.

Dalam kejadian jam 3.30 pagi, lelaki yang disenarai sebagai penjenayah dikehendaki sejak tahun lalu itu ditembak selepas cuba berbalas tembakan dengan pihak polis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Datuk Zainol Samah, berkata sebelum kejadian anggota Bahagian Jenayah Berat (D9) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang sedang melakukan rondaan dan menemui sebuah kereta dalam keadaan mencurigakan.

Zainol berkata, polis mengekori kereta jenis PROTON Waja itu sebelum kenderaan itu memecut laju sehingga ke ladang kelapa sawit dan terbabas di kawasan berkenaan.

“Suspek kemudiannya terus keluar daripada keretanya dan melepaskan beberapa das tembakan ke arah polis.

Anggota Forensik di tempat kejadian suspek yang ditembak mati di Jalan Tasek Valdor, Nibong Tebal, pagi tadi. - Ihsan PDRM
Anggota Forensik di tempat kejadian suspek yang ditembak mati di Jalan Tasek Valdor, Nibong Tebal, pagi tadi. - Ihsan PDRM

Sepucuk pistol semi automatik dan tujuh butir peluru hidup yang ditemui berhampiran suspek. - Ihsan PDRM
Sepucuk pistol semi automatik dan tujuh butir peluru hidup yang ditemui berhampiran suspek. - Ihsan PDRM

“Susulan itu, polis terpaksa membalas tembakan, menyebabkan penjenayah itu mati di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan.

Zainol berkata, pemeriksaan di kenderaan suspek menemui sepucuk pistol semi auto ‘CZ Made In Republic Czech’ bersama enam butir peluru dan satu butir dalam kelopak (9mm Thai Arm) pada sisi sebelah kanan suspek.

Katanya, kereta PROTON Waja yang digunakan suspek juga adalah kenderaan curi yang dilaporkan hilang di Sungai Korok di Seberang Perai Utara pada 4 Februari lalu.

“Suspek memiliki 17 rekod jenayah dan 11 kes berkaitan dadah, selain empat kes jenayah membabitkan senjata api serta ugutan jenayah sejak 2007,” katanya.

Dalam kejadian jam 3.30 pagi tadi, lelaki yang disenarai sebagai penjenayah dikehendaki sejak tahun lalu itu ditembak selepas cuba berbalas tembakan dengan pihak polis. - Ihsan PDRM
Dalam kejadian jam 3.30 pagi tadi, lelaki yang disenarai sebagai penjenayah dikehendaki sejak tahun lalu itu ditembak selepas cuba berbalas tembakan dengan pihak polis. - Ihsan PDRM
Berita Harian X