X
Rabu, 20 March 2019 | 8:59am
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ACP Nasri Mansor. - Foto NSTP
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ACP Nasri Mansor. - Foto NSTP

Tiga kenderaan bertembung, seorang kanak-kanak maut

LAHAD DATU: Seorang kanak-kanak lelaki maut dalam kemalangan membabitkan sebuah lori tujuh tan, bas ekspres dan sebuah kenderaan pacuan empat roda di Kilometer 15, Jalan Lahad Datu-Sandakan, semalam.

Dalam kejadian 3.45 petang itu, mangsa berumur 19 bulan yang adalah penumpang kenderaan pacuan empat roda itu, disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Lahad Datu.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ACP Nasri Mansor berkata, ketika kejadian, lori yang dalam perjalanan dari Sandakan menuju ke Lahad Datu, dikatakan hilang kawalan lalu terbabas ke jalan bertentangan.

Ini menyebabkan kenderaan pacuan empat roda dari arah Lahad Datu tidak sempat mengelak, melanggar bahagian tepi belakang sebelah kanan lori tersebut.

“Kemalangan ini menyebabkan kenderaan itu berpusing ke jalan bertentangan, sebelum sebuah bas yang membawa 12 penumpang dari arah Sandakan, merempuh bahagian belakang kenderaan tersebut.

“Akibat rempuhan itu, kanak-kanak lelaki yang berada di dalam kenderaan pacuan empat roda itu tersepit di dalam kenderaan itu sebelum berjaya dikeluarkan pasukan Bomba dan Penyelamat dan dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut,” katanya.

Nasri berkata, seorang remaja perempuan berusia 15 tahun yang turut berada di dalam kenderaan pacuan empat roda itu mengalami cedera ringan, manakala pemandu lori; pemandu dan 12 penumpang bas; serta dua lagi dalam kenderaan pacuan empat roda itu tidak mengalami kecederaan. – BERNAMA

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X