Ahad, 17 March 2019 | 3:16pm
Norizan Am maut dihempap pokok Hujan-Hujan yang tumbang di Kampung Jenalik berhampiran Masjid Ubudiah di Kuala Kangsar, pagi ini. - Foto ihsan bomba

Wanita warga emas maut dihempap pokok

KUALA KANGSAR: Seorang wanita warga emas maut dihempap pokok Hujan-Hujan yang tumbang di Kampung Jenalik berhampiran Masjid Ubudiah di sini pagi ini.

Dalam kejadian jam 11.50 pagi itu, Norizan Am, 61, yang sedang menunggang basikal untuk pulang ke rumahnya, meninggal dunia di tempat kejadian.

Dua rumah turut rosak di bahagian bumbung akibat dihempap pokok berkenaan. Sebuah kereta turut dihempap dalam kejadian itu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kangsar, Mohd Taufiq Abd Sattar, berkata pihaknya menerima panggilan daripada orang awam pada jam 11.56 pagi yang memaklumkan kejadian pokok tumbang menghempap rumah.

Berikutan itu, sepasukan lapan anggota bersama sebuah Unit Penyelamatan dan Perawatan Kecemasan (EMRS) bergegas ke lokasi.

“Setibanya di lokasi, anggota bomba mendapati sebatang pokok tumbang menghempap dua rumah dan sebuah kenderaan.

“Pada awalnya kami tidak menyedari ada mangsa tetapi sebaik kerja pemotongan dahan dilakukan, anggota bomba menemui mangsa yang sudah meninggal dunia bersama basikalnya dihempap pokok,” katanya ketika dihubungi.

Mangsa dikeluarkan dan diserahkan kepada pihak perubatan untuk Hospital Kuala Kangsar untuk siasatan lanjut.

Kerja menyelamat dan membersihkan kawasan turut membabitkan Jabatan Kerja Raya (JKR), Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Berita Harian X