Sabtu, 16 March 2019 | 8:41pm
Anggota Bomba dan Penyelamat mengawal kebakaran hutan dan belukar berhampiran ladang nanas di kawasan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) Pulau Serai, sejak enam hari lalu -Foto Farizul Hafiz Awang
Anggota Bomba dan Penyelamat mengawal kebakaran hutan dan belukar berhampiran ladang nanas di kawasan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) Pulau Serai, sejak enam hari lalu -Foto Farizul Hafiz Awang

3 kawasan baharu terbakar di Pahang

PEKAN: Keadaan berjerebu akibat kebakaran hutan dan belukar berhampiran ladang nanas di kawasan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Pulau Serai, dekat sini, sejak enam hari lalu masih terkawal.

Walaupun keadaan berjerebu di kesan sekitar Peramu Jaya dan kampung tradisional berhampiran, pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang dengan bantuan agensi lain sedang berusaha memastikan kebakaran tidak merebak ke kawasan lain.

Ketua Penjaga Balai Bomba dan Penyelamat Peramu, Ismail Abdul Latif berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kebakaran yang dipercayai bermula di Kampung Permatang Nangka, Pulau Serai pada 11 Mac lalu dan memulakan operasi memadam kebakaran sejurus menerima laporan.

“Buat masa ini, usaha memadam kebakaran membabitkan kawasan seluas kira-kira enam hektar masih giat dijalankan, walaupun ia terkawal, kita terus memantau memandangkan keadaan cuaca panas melampau ketika ini berkemungkinan mencetuskan kejadian (kebakaran) baharu di kawasan berhampiran.

“Kita juga sudah membuka Pos Kawalan JBPM Pahang di kawasan ini dengan menempatkan 45 pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Peramu,” katanya ketika meninjau pos kawalan berkenaan di sini, hari ini.

Ismail yang juga Komandan operasi itu berkata, pihaknya turut mengesan beberapa kebakaran di kawasan baharu sejak semalam dan ia dipercayai berpunca daripada cuaca kering dan tiupan angin.

Katanya, antara kawasan baharu yang terbakar ialah berhampiran Sekolah Berasrama Penuh (SBP) Integrasi Tun Abdul Razak; Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Tun Abdul Razak dan Sekolah Kebangsaan Pulau Serai, di sini.

“Selain menggunakan pam air milik JBPM Pahang, kita turut menerima bantuan daripada pihak Majlis Daerah Pekan; Jabatan Kerja Raya (JKR) daerah dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Pegawai dan anggota kita juga bertugas 24 jam secara giliran bagi memastikan kebakaran dapat dikawal dan dipadamkan dalam masa terdekat, walaupun punca kejadian ini belum dapat kita pastikan, namun saya menasihatkan orang ramai agar tidak melakukan pembakaran terbuka memandangkan keadaan cuaca ketika ini yang sangat panas dan berisiko mengakibatkan api merebak dengan cepat,” katanya.

Berita Harian X