Jumaat, 15 March 2019 | 11:22am
AZAHARI Othman (tengah) bersama para pelajar menunjukan induk ikan kelab yang terdapat di Pusat Pengembangan Akuakultur Perlok. - Foto Mohd Rafi Mamat
AZAHARI Othman (tengah) bersama para pelajar menunjukan induk ikan kelab yang terdapat di Pusat Pengembangan Akuakultur Perlok. - Foto Mohd Rafi Mamat

Padah guna senapang ikan

KUANTAN: Tindakan seorang lelaki memuat turun gambar pelbagai jenis ikan yang ditangkap di Sungai Jelai, Lipis ke dalam akaun Facebooknya minggu lalu, mengundang padah apabila dikenakan tindakan undang-undang.

Siasatan dilakukan Pegawai Penguat Kuasa Jabatan Perikanan Pahang mendapati lelaki tempatan berusia 36 tahun itu menangkap ikan berkenaan menggunakan senapang ikan buatan sendiri yang dilarang penggunaannya di negara ini.

Pengarah Jabatan Perikanan Pahang, Azahari Othman, berkata menjadi kesalahan menangkap ikan menggunakan senapang ikan dan sabit kesalahan boleh dikenakan kompaun RM500 hingga RM5,000, mengikut Peraturan Kaedah-Kaedah Perikanan (Perairan Sungai) 1991 Pahang.

Beliau berkata, pihaknya melakukan siasatan bagi mengesan lelaki berkenaan selepas melihat gambarnya bersama hasil tangkapan dalam media sosial minggu lalu.

“Siasatan dilakukan mendapati lelaki terbabit menggunakan senapang ikan buatan sendiri di Sungai Jelai... air sungai yang cetek kini memudahkan aktiviti memburu ikan terutama di kawasan lubuk.

“Musim kemarau yang melanda negara kini menyebabkan banyak sungai menjadi cetek dan digunakan penduduk kampung menangkap ikan menggunakan pelbagai kaedah termasuk senapang ikan, tuba, bahan letupandan arus elektrik,” katanya ketika melakukan lawatan kerja ke Pusat Pengembangan Akuakultur Perlok, Jerantut, hari ini.

Yang turut hadir, pengurus pusat berkenaan Mohd Nasir Muhamad.

Minggu lalu, Azahari berkata, jabatan itu turut mengenakan kompaun kepada seorang lelaki berusia 36 tahun yang melakukan aktiviti menangkap ikan lalang di Empangan Klau, Raub tanpa lesen.

Katanya, anggota penguat kuasa yang melakukan pemantauan di kawasan empangan berkenaan terserempak dengan lelaki terbabit yang sedang menangkap ikan menggunakan jala dan pemeriksaan dilakukan mendapati dia tidak mempunyai lesen melakukan aktiviti terbabit.

Beliau berkata, selain dikenakan kompaun antara RM500 hingga RM5,000 peralatan seperti bot gentian kaca, jala dan hasil tangkapan turut dirampas. Ikan lalang menjadi makan kepada ikan bersaiz besar di empangan terbabit.

Kita sentiasa memantau media sosial seperti Facebook, WhatsApp dan Instagram secara berterusan bagi mengesan dan mengambil tindakan terhadap pihak yang melakukan pelbagai kesalahan,” katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X