Khamis, 14 March 2019 | 11:26pm
Muhammad Hakimie Ifwat Sabaruddin (kiri) bersama rakannya, Aqil Amzar Mas’ad. - Foto ihsan rakan mangsa

Pelajar cemerlang SPM maut nahas motosikal

JITRA: Seorang pelajar lelaki yang memperoleh 6A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) diumumkan hari ini, meninggal dunia selepas motosikal ditunggangnya terbabit dalam kemalangan di Kilometer 33.6 berhampiran susur keluar Bandar Darulaman, di sini.

Dalam kejadian jam 6.13 petang itu, motosikal yang ditunggang Muhammad Hakimie Ifwat Sabaruddin, 18, bergesel dengan sebuah motosikal lain yang ditunggangi rakannya.

Rakan mangsa, Qumail Saini Suhaimi, 18, berkata dia tidak menyangka Muhamad Hakimie meninggal dunia selepas mereka terbabit dalam kemalangan.

“Saya menunggang motosikal bersama seorang lagi rakan, Aqil Amzar Mas’ad, dan berada di bahagian depan manakala mangsa yang menunggang sebuah lagi motosikal berada di bahagian belakang.

“Ketika itu, saya cuba mengelak motosikal yang ditunggangi seorang lelaki yang juga warga emas serta berkemungkinan arwah tidak perasan dan tak sempat elak menyebabkan berlaku kemalangan itu.

“Ketika itu saya nampak Muhammad Hakimie terpelanting sebelum tidak sedarkan diri manakala Amzar Amran, 18, yang membonceng motosikal itu pula menjerit meminta tolong kerana kaki kirinya dipercayai patah,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Jitra, malam ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Ismail Ibrahim, berkata siasatan awal mendapati motosikal yang ditunggang Muhammad Hakimie bergesel dengan motosikal ditunggangi dua rakan mereka.

Beliau berkata, kejadian berlaku selepas motosikal yang ditunggang Qumail Husaini dan rakannya, Aqil Amzar Mas’ad, 18, dikatakan brek secara tiba-tiba sebelum mengelak ke kiri jalan.

“Disebabkan jarak terlalu dekat, berlaku geselan dengan motosikal arwah di bahagian kiri menyebabkan mereka jatuh di atas jalan raya.

“Bagaimanapun, dua lagi rakannya yang menunggang sebuah motosikal di hadapan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Ismail berkata, Muhammad Hakimie dipercayai meninggal di tempat kejadian, manakala Amzar dihantar ke Hospital Jitra untuk menerima rawatan.

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Jitra untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menunggang secara melulu hingga menyebabkan kematian, ” katanya.


RAKAN-RAKAN menunggu jenazah Muhammad Hakimie yang maut dalam kemalangan di Kilometer 33.6 berhampiran susur keluar Bandar Darulaman. - Foto Amran Hamid

Berita Harian X