Jumaat, 8 March 2019 | 3:26pm
Pihak berkuasa meneruskan operasi mencari saki baki cebisan mayat Nur Aisyah Aleya yang dipercayai dibunuh. - Foto PDRM
Pihak berkuasa meneruskan operasi mencari saki baki cebisan mayat Nur Aisyah Aleya yang dipercayai dibunuh. - Foto PDRM

Kes bunuh Nur Aisyah Aleya: Polis terus cari cebisan mayat

LANGKAWI: Polis masih meneruskan operasi mencari saki baki cebisan mayat Nur Aisyah Aleya Abdullah, budak perempuan berusia tiga tahun yang dipercayai dibunuh sebelum dibuang di kawasan hutan berdekatan Jalan Gunung Raya di sini.

Operasi oleh pasukan polis dan bomba menggunakan bantuan khidmat anjing pengesan dihentikan jam 1 tengah hari semalam sebelum disambung hari ini.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim, berkata operasi masuk hari ketiga dalam usaha mengumpul semua cebisan mayat bagi dijadikan bukti.

“Kami masih mencari dan mengesan kemungkinan masih ada cebisan mayat di lokasi mangsa dibuang oleh suspek. Setakat ini, polis telah menemui tiga sampel, iaitu tiga gumpalan rambut, dua batang gigi dan satu tengkorak,” katanya hari ini.

Tengkorak dan cebisan mayat Nur Aisyah yang dipercayai dibunuh pada 16 Februari, ditemui pihak polis pada Rabu lalu selepas pasangan suami isteri yang dipercayai membunuh mangsa berjaya ditahan di sebuh rumah di Ampang, Selangor.

Mohd Iqbal berkata, cebisan mayat itu yang kini dalam simpanan polis dijangka dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, esok.

“Bedah siasat ke atas mangsa hanya akan dilakukan Ahad ini sebelum cebisan mayat dibawa ke Jabatan Kimia untuk dianalisis,” katanya.

Beliau berkata, pegawai penyiasat sudah mengunjungi semula lokasi pembuangan mayat dan rumah suspek bagi mengesan sampel, namun setakat ini tidak tidak menemui apa-apa sampel baharu di kedua-dua lokasi.

Katanya, pasukan penyiasat memberi tumpuan mengumpul sampel di rumah suspek, iaitu lokasi kemungkinan mangsa didera.

Berita Harian X