Selasa, 5 March 2019 | 4:37pm
Ribuan tin susu bertaburan selepas sebuah lori kontena membawa muatan itu terbalik di KM408 Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara pagi tadi.
Sebahagian laluan di lebuh raya terpaksa ditutup sementara untuk membersihkan tin susu yang bertaburan.

Ribuan tin susu bertaburan di atas jalan

KUALA LUMPUR: Ribuan tin susu bertaburan di atas jalan selepas sebuah lori kontena membawa muatan itu terbabas dan terbalik di Kilometer 408 Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara, pagi tadi.

Dalam kemalangan kira-kira jam 9 pagi, lori kontena yang dalam perjalanan dari ibu negara ke Ipoh, Perak itu dipercayai hilang kawalan sebelum terbalik di antara lorong kiri dengan tengah lebuh raya terbabit.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Lim Bak Phai, berkata susulan itu, sebahagian laluan di lebuh raya berkenaan terpaksa ditutup sementara untuk membersihkan tin susu yang bertaburan.

“Sebahagian laluan terpaksa ditutup beberapa jam akibat kejadian itu untuk kerja pembersihan dan mengalihkan kenderaan, namun keadaan trafik berjalan lancar.

“Pemandu lori kontena terbabit dilaporkan hanya mengalami kecederaan ringan dan setakat ini, dia belum membuat laporan polis berhubung kejadian itu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Rule 10 LN 166/59 kerana memandu dengan cuai sehingga menyebabkan kemalangan.

Berita Harian X