Isnin, 4 March 2019 | 11:15pm

Warga Ireland mati dipercayai dibunuh

GEORGETOWN: Seorang pengatur cara komputer warga Ireland ditemukan mati dalam keadaan tangan dan kakinya diikat, dipercayai dibunuh di unit kondominium di Jalan Sultan Ahmad Shah, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisoner Che Zaimani Che Awang, berkata mayat Brian Patrick O’ Reilly, 51, ditemui oleh pihak pengurusan kondominium dalam sebuah bilik di rumah berkenaan pada kira-kira jam 5 petang tadi.

Katanya, hasil siasatan di lokasi kejadian, polis menemui sekeping nota dipercayai ditinggalkan oleh suspek lelaki yang mengatakan dia tidak berpuas hati dengan mangsa yang didakwa terbabit dalam sindiket penipuan ‘scammer’ dan menipu wang adik perempuannya.

Beliau berkata, sepasukan polis bergegas ke tempat kejadian selepas dimaklumkan oleh pengurusan kondominium itu dan menemukan lelaki itu sudah tidak bernyawa dengan kecederaan di bahagian kepala.

Che Zaimani berkata, pemeriksaan di dalam rumah mangsa mendapati peti besi dalam sebuah bilik telah diselongkar dan terdapat kesan pergelutan berlaku.

Katanya, mangsa tinggal bersendirian di kondominium itu dan membuka pejabat di negeri ini kira-kira dua minggu lalu.

Che Zaimani berkata, mayat itu dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat dan kes berkenaan diklasifikasikan sebagai bunuh dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. - BERNAMA

ANGGOTA polis mengusung mayat seorang warga Ireland ditemui mati di kondominium Jalan Sultan Ahmad Shah, malam ini. - Foto BERNAMA
ANGGOTA polis mengusung mayat seorang warga Ireland ditemui mati di kondominium Jalan Sultan Ahmad Shah, malam ini. - Foto BERNAMA
Berita Harian X