Sabtu, 2 March 2019 | 1:06am
DUA lelaki ditahan Bahagian Antimaksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya dalam serbuan Ops Dadu di kondominium di Dataran Sunway, Kota Damansara.
DUA lelaki ditahan Bahagian Antimaksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya dalam serbuan Ops Dadu di kondominium di Dataran Sunway, Kota Damansara.

Kegiatan judi dalam talian di kondominium mewah tumpas

PETALING JAYA: Polis menahan dua lelaki warga tempatan dalam serbuan di sebuah unit kondominium mewah, disyaki menjalankan kegiatan perjudian dalam talian sejak dua hari lalu di Dataran Sunway, Kota Damansara, di sini, petang tadi.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din, berkata serbuan dijalankan Bahagian Antimaksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, kira-kira jam 5 petang.

“Bertindak atas risikan dan maklumat, kita menyerbu sebuah unit kediaman di kondominium mewah yang disyaki menjalankan kegiatan perjudian dalam talian.

“Hasil serbuan, kita menahan dua lelaki berusia dalam lingkungan umur 22 hingga 24 tahun yang dipercayai menguruskan pertaruhan.

“Sebanyak 10 telefon bimbit, dua set lengkap komputer dan dua unit modem turut dirampas,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, sindiket itu dipercayai mengendalikan wang pertaruhan kira-kira RM3,000 dalam tempoh 12 jam.

“Sindiket ini dipercayai beroperasi 24 jam dengan kedua-dua pekerja yang ditahan masing-masing bekerja satu syif 12 jam sehari secara bergilir-gilir.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” katanya.

Berita Harian X