Jumaat, 1 March 2019 | 11:59am

Lelaki belasah wanita di stesen MRT didakwa di mahkamah

KUALA LUMPUR: Seorang pekerja penyelenggara pendingin hawa yang dirakam membelasah dan merompak seorang wanita di sebuah lif di Stesen Transit Aliran Massa (MRT) Taman Mutiara, Cheras, dua minggu lalu, didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

G Thinathayaalan, 25, yang hadir ke mahkamah memakai kemeja-T hitam dan seluar kelabu, mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan dalam bahasa Tamil di hadapan Hakim Mahyon Talib.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Thinathayaalan didakwa melakukan rompakan dan menyebabkan kecederaan ke atas pengurus bank, Lee Meei Shan, 48, selain melarikan kad pengenalan, lesen memandu, dua keping kad ATM, dua keping kad kredit dan wang tunai RM400.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam, dituduh melakukan kesalahan itu di dalam lif stesen MRT, Taman Mutiara, di sini, jam 6.45 pagi, pada 14 Februari lalu.

Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan, yang boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, N Joy Jothi, tidak menawarkan sebarang jaminan atas alasan kes berkenaan adalah jenayah kejam yang sudah menjadi viral selain berlaku dalam lif MRT serta dirakam oleh CCTV.

Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 15 Mac ini untuk sebutan semula kes.

Sebelum ini, media melaporkan insiden samun itu dirakam kamera litar tertutup (CCTV) dalam lif berkenaan dan viral selepas dimuat naik di media sosial sejak hari kejadian.

Dalam rakaman selama 57 saat, lelaki itu dilihat menumbuk mangsa beberapa kali sebelum menarik rambut dan menendang wanita berkenaan.

Tertuduh kemudian menarik beg tangan mangsa dan mengambil dompet wanita itu sebelum melarikan diri.

Video berkenaan yang tersebar luas di media sosial menerima kecaman hebat dalam kalangan netizen.

Sementara itu, di Mahkamah Sesyen berasingan, tertuduh mengaku tidak bersalah atas tuduhan melakukan rompak bersenjata ke atas lelaki warga Bangladesh, Hossain Mobarok, dengan melarikan lapan kotak rokok jenama Dunhill di Kedai KK Mart Taman Tayton View, Cheras, di sini, yang dilakukan 15 minit sebelum kejadian rompak pertama.

Timbalan Pendakwa Raya, Siti Aisyah Ahmad, mengemukakan pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun, denda dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Hakim Emilia Kaswati Mohamad Khalid, tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 18 Mac ini untuk sebutan semula kes.

G Thinathayaalan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Mahzir Mat Isa
Berita Harian X