Jumaat, 1 March 2019 | 10:30am
PEGUAM Azhier Farhan Arisin (kanan) ketika ditemui di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, hari ini. - Foto Malai Rosmah Tuah
PEGUAM Azhier Farhan Arisin (kanan) ketika ditemui di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, hari ini. - Foto Malai Rosmah Tuah

Pengurusan kes petisyen pilihan raya Parlimen Sipitang ditunda

KOTA KINABALU: Pengurusan kes petisyen pilihan raya bagi Parlimen Sipitang yang sepatutnya didengar di Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini ditunda ke 8 Mac ini.

Peguam Azhier Farhan Arisin yang mewakili Ahli Parlimen Sipitang, Yamani Hafez Musa, berkata tarikh baharu itu berikutan Hakim Azhahari Kamal Ramli yang sepatutnya mendengar kes itu hari ini ada hal kecemasan.

Azhier Farhan berkata, Mahkamah Tinggi juga akan menetapkan tarikh perbicaraan kes itu pada 8 Mac ini.

Pada 20 Februari lalu, Pesuruhjaya Kehakiman, Ismail Brahim, menetapkan 1 Mac bagi sebutan kes petisyen pilihan raya Parlimen Sipitang berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan di Putrajaya pada 18 Februari lalu memerintahkan perbicaraan petisyen pilihan raya diadakan bagi kerusi Parlimen Sipitang dan Kimanis yang dimenangi calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Sebelum ini, calon Parti Warisan Sabah (WARISAN) pada PRU-14 bagi Parlimen Sipitang, Noor Hayaty Mustapha memfailkan petisyen bagi membatalkan kemenangan Yamani Hafez.

Yamani Hafez menang kerusi itu dengan majoriti 852 undi menewaskan Noor Hayaty.

Dalam petisyen berkenaan, Yamani Hafez yang juga anak bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman diwakili Azhier Farhan dan Rizwandean M Borhan.

Bagi petisyen pilihan raya Parlimen Kimanis, pendengaran pengurusan kes dijadualkan pada jam 2 petang nanti.

Berita Harian X