Rabu, 27 Februari 2019 | 12:03am
GAMBAR fail, Ketua Pegawai Eksekutif Cradle, Nazrin Hassan . - Foto Fariz Iswadi Ismail
GAMBAR fail, Ketua Pegawai Eksekutif Cradle, Nazrin Hassan . - Foto Fariz Iswadi Ismail

Bedah siasat kedua temui kesan cedera kepala, muka

KUALA LUMPUR: Laporan bedah siasat kali kedua ke atas bekas Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund Sdn Bhd, Allahyarham Nazrin Hassan menunjukkan terdapat kesan hentakan akibat objek keras pada kepala dan muka mangsa.

Menurut sumber, menerusi laporan bedah siasat kali kedua yang dikeluarkan oleh Jabatan Patologi Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) itu, mangsa dipercayai dibunuh sebelum dibakar.

“Selain siasatan pasukan forensik bomba menemui kesan petrol di lokasi kebakaran, pihak Suruhanjaya Tenaga pula mengesahkan bahawa telefon bimbit mangsa tidak meletup seperti yang dilaporkan sebelum ini.

“Ini sekaligus menyimpulkan bahawa kebakaran yang berlaku di bilik kediaman mangsa pada hari kejadian ialah kebakaran yang disengajakan,” kata sumber berkenaan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, berkata laporan bedah siasat kali kedua sudah diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya pada Jumaat lalu.

Katanya, tindakan lanjut berhubung kes berkenaan hanya akan diketahui selepas mendapat maklum balas dan keputusan daripada pihak terbabit.

Allahyarham Nazrin meninggal dunia di rumahnya di Petaling Jaya pada 14 Jun lalu, difahamkan maut akibat kebakaran selepas telefon bimbit dalam biliknya meletup.

Dua bulan kemudian, polis mengklasifikasikan kes itu sebagai kes bunuh selepas siasatan bomba mendapati ada kesan petrol di tempat kejadian.

Polis kemudian menyoal siasat anggota keluarganya, termasuk menahan reman isteri Allahyarham Nazrin, Samirah Muzaffar, 43 dan dua anaknya selama tujuh hari sebelum dibebaskan dengan jaminan.

Pada 8 Oktober tahun lalu, Mahkamah Rayuan membenarkan kubur Allahyarham Nazrin digali semula supaya bedah siasat kedua dapat dijalankan bagi mencari bukti baharu mengenai kematiannya.

Kubur jenazah Allahyarham Nazrin digali semula untuk proses bedah siasat kali kedua di PPUM sebelum dikebumikan semula di Tanah Perkuburan Seksyen 6 Kota Damansara pada 15 Oktober lalu.

Berita Harian X