Selasa, 26 Februari 2019 | 1:19pm
Allahyarham Nazrin meninggal dunia di rumahnya di Petaling Jaya pada 14 Jun lalu, difahamkan maut akibat kebakaran selepas telefon bimbit dalam biliknya meletup. Dua bulan kemudian, polis mengklasifikasikan kes itu sebagai kes bunuh.
Allahyarham Nazrin meninggal dunia di rumahnya di Petaling Jaya pada 14 Jun lalu, difahamkan maut akibat kebakaran selepas telefon bimbit dalam biliknya meletup. Dua bulan kemudian, polis mengklasifikasikan kes itu sebagai kes bunuh.

Polis serah laporan bedah siasat kedua bekas CEO Cradle Fund

CHERAS: Polis menyerahkan laporan bedah siasat kali kedua ke atas bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund Sdn Bhd (Cradle Fund), Allahyarham Nazrin Hassan, kepada Timbalan Pendakwa Raya pada 22 Februari lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, berkata sebarang tindakan lanjut akan diketahui selepas mendapat maklum balas dan keputusan daripada pihak terbabit.

“Saya pun tidak tahu laporan bedah siasat itu diterima bila, saya dimaklumkan polis Selangor kemukakan laporan siasatan dengan hasil laporan bedah siasat itu kepada Timbalan Pendakwa Raya pada 22 Februari lalu.

“Itu saja laporan diterima, saya dan pucuk pimpinan polis tidak sempat melihat lagi maklumat lanjut mengenai perkara itu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Peringatan Ulang Tahun Pasukan Simpanan Persekutuan Ke-63 dan Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara di Padang Kawad Pasukan Simpanan Persekutuan di sini, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan laporan penuh bedah siasat kali kedua Allahyarham Nazrin mengambil masa lama berikutan ia bergantung kepada doktor yang membuat laporan berkenaan.

Allahyarham Nazrin meninggal dunia di rumahnya di Petaling Jaya pada 14 Jun lalu, difahamkan maut akibat kebakaran selepas telefon bimbit dalam biliknya meletup.

Dua bulan kemudian, polis mengklasifikasikan kes itu sebagai kes bunuh selepas siasatan bomba mendapati ada kesan petrol di tempat kejadian.

Polis kemudian menyoal siasat anggota keluarganya, termasuk menahan reman isteri dan dua anak tirinya.

Pada 8 Oktober tahun lalu, Mahkamah Rayuan membenarkan kubur Allahyarham Nazrin digali semula supaya bedah siasat kedua dapat dijalankan bagi mencari bukti baharu mengenai kematiannya.

Jenazah Allahyarham Nazrin digali semula untuk proses bedah siasat kali kedua di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) sebelum dikebumikan semula di Tanah Perkuburan Seksyen 6 Kota Damansara pada 15 Oktober lalu.

Ketika ditanya mengenai tangkapan baharu selepas menerima laporan itu, Mohamad Fuzi berkata tiada keperluan ketika ini kecuali mendapat arahan baharu daripada Timbalan Pendakwa Raya.

“Kalau ada arahan baharu, kita akan akur,” katanya.

Berita Harian X