Isnin, 25 Februari 2019 | 7:11pm
FAZURA hadir di mahkamah pada bicara kes saman syarikat kosmetik, Maydan Trading terhadap pelakon Fazura dan syarikat rakaman Universal Music Sdn. Bhd di Mahkamah Tinggi. - Foto Aswadi Alias.
FAZURA hadir di mahkamah pada bicara kes saman syarikat kosmetik, Maydan Trading terhadap pelakon Fazura dan syarikat rakaman Universal Music Sdn. Bhd di Mahkamah Tinggi. - Foto Aswadi Alias.

Fazura dibayar RM156,000 promosi Q-Tab

KUALA LUMPUR: Pemilik Maydan Trading (Maydan) memberitahu Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, pelakon dan penyanyi terkenal, Nur Fazura menerima bayaran RM156,000 untuk menjadi duta kepada produk syarikatnya, Q-Tab.

Narhamdan Abd Malek, 54, dalam keterangannya pada perbicaraan hari pertama kes saman yang difailkan terhadap Fazura atau nama penuh, Nur Fazura Sharifuddin, 36, dan Universal Music Sdn Bhd, berkata bayaran itu dibuat bagi mempromosikan produk kesihatan dan kecantikan selama enam bulan menerusi akaun Instagram Fazura.

“Saya menghadiri perjumpaan pertama yang diaturkan oleh anak kedua saya, Mardina bersama pengurus pelakon itu, Iman Tang di Renaissance Hotel Kuala Lumpur pada 18 Julai 2017.

“Beliau (Iman Tang) kemudian menjelaskan secara lisan tugas duta produk dan cara membantu memasarkan produk Q-Tab,” katanya ketika memberi keterangan di hadapan Hakim Datuk Mohd Firuz Jaffril.

Narhamdan turut memberitahu, pada awal Ogos 2017, beliau menandatangani Helaian Terma (Term Sheet) dan membuat bayaran awal sebanyak RM100,000 pada perjumpaan yang diadakan di The Curve, yang dihadiri oleh Fazura, Iman Tang, dua anak perempuannya, Marliya dan Mardina.

Katanya, beliau kemudian mengadakan sidang media pada akhir Ogos 2017 untuk mempromosikan rangkaian produk Maydan termasuk Q-Tab menerusi sokongan Fazura dan turut membayar RM56,000 untuk sesi fotografi dan video.

“Saya difahamkan selepas sidang media pelancaran Q-Tab, jualan produk kami bagus, namun, pada akhir September 2017, ia mula merudum.

“Mardina memaklumkan kepada saya pada awal Oktober 2017, Fazura melancarkan produk kecantikannya sendiri yang diberi nama Tru-Dolly dan Mardina menerima pertanyaan daripada pengguna sama ada kami mempunyai bekalan Tru-Dolly,” katanya.

Narhamdan berkata, beliau kecewa kerana sebelum ini Iman Tang memberitahu bahawa Fazura akan mempromosikan produk itu secara eksklusif sepanjang tempoh perjanjian.

Katanya, bajet RM200,000 yang dikeluarkan bagi memasarkan produk bukanlah jumlah yang kecil.

“Jumlah 75 peratus yang dibayar kepada Fazura adalah tidak sepadan dengan 75 peratus kerja yang dijanjikan oleh pelakon itu sejak Oktober 2017.

“Beliau hanya menjalankan satu sidang media dan sesi fotografi serta video, selain mempromosi dan memuat naik sebanyak tiga kali di laman Instagram miliknya,” katanya.

Pada 16 Disember 2017, Narhamdan menfailkan saman terhadap Fazura dan Universal Music Sdn Bhd yang masing-masing dinamakan sebagai defendan pertama dan kedua.

Berdasarkan writ saman, Narhamdan sebagai plaintif memiliki dan menjual produk kesihatan di atas nama dagang Maydan dan satu daripada produk itu adalah kandi yang boleh dikunyah dikenali sebagai Q-Tab untuk kesihatan rambut, kulit dan kuku.

Pada 10 Ogos 2017, plaintif didakwa bersetuju secara bertulis dengan cara Helaian Terma (Term Sheet) yang dibuat oleh defendan kedua (Universal Music) untuk perkhidmatan Fazura.

Perjanjian itu didakwa untuk Fazura memasarkan dan/atau mengendors produk untuk balasan bayaran sebanyak RM212,000 serta dibayar dalam tempoh enam bulan.

Berdasarkan pernyataan tuntutan, antara perkhidmatan yang dibuat oleh Fazura adalah memasarkan produk secara besar melalui media sosial, lebih khususnya melalui saluran Instagram miliknya membabitkan 12 catatan (postings).

Selain itu, Fazura perlu membuat lima penampilan awam, penampilan tunggal pada sidang akhbar serta sesi pengambilan gambar dan video bagi kegunaan plaintif dalam pemasaran produk.

Sementara itu, defendan pertama dalam pernyataan pembelaannya menafikan bahawa beliau ada memasuki sebarang perjanjian dengan plaintif.

Fazura juga menegaskan bahawa Iman Tang bukan ejen atau wakilnya, sebaliknya hanya pengurus dan sebarang keputusan berkaitan dengan kerjaya seni hanya ditentukan oleh dirinya sendiri.

Berita Harian X