X
Isnin, 25 Februari 2019 | 6:44pm

RCI tidak beri kesan pada saman pemula - Sangeet

KUALA LUMPUR: Penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan salah laku kehakiman, tidak akan memberi kesan pada saman pemula dikemukakan terhadap Ketua Hakim Negara yang didakwa gagal mempertahankan integriti dan kewibawaan Badan Kehakiman.

Peguam, Sangeet Kaur Deo, selaku pemohon dalam saman pemula itu berkata beliau secara peribadi berpandangan RCI tidak memberikan kesan pada tindakan undang-undang diambilnya, namun akan meneliti perkara berkenaan dengan lebih lanjut.

Beliau berkata, isu sama ada ia akan memberikan kesan atau tidak, juga bergantung pada afidavit balasan yang akan difailkan Ketua Hakim Negara selaku responden, jika ada.

“Justeru, kandungan afidavit balasan itu nanti akan diteliti bagi menentukan sama ada mana-mana tuntutan saya dalam saman pemula kini menjadi akademik.

“Bagaimanapun, buat masa ini, saya berpandangan ia adalah perkara yang berasingan.

“Dalam pengurusan kes pada 13 Mac depan, kami juga akan memaklumkan kepada mahkamah mengenai kedudukan perundangan di negara ini berhubung perkembangan terbaru membabitkan penubuhan RCI,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas pengurusan kes saman pemula berkenaan di Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini.

Sangeet berkata, pada prosiding hari ini, Peguam Kanan Persekutuan memberitahu bahawa pihak berkenaan memerlukan masa untuk memutuskan sama ada mereka akan memfailkan afidavit balasan terbabit.

Pengurusan kes saman pemula itu didengar di kamar Hakim Datuk Mohd Firuz Jaffril, dan turut dihadiri Peguam Kanan Persekutuan, S Narkunavathy, bagi pihak responden.

Sementara itu, mahkamah menasihatkan supaya semua pihak terbabit dalam saman pemula berkenaan mematuhi prosedur dengan tidak menyebarkan kepada pihak luar, dokumen yang belum dikemukakan kepada mahkamah.

Ia rentetan pendedahan mengenai dakwaan salah laku oleh hakim kanan yang dibuat Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Dr Hamid Sultan Abu Backer, melalui afidavit sokongan diikrarkannya bagi pihak pemohon, tersebar dan dilaporkan secara meluas.

Sangeet berkata, beliau sendiri tidak mengetahui bagaimana dokumen itu boleh tersebar.

Menjelaskan lebih lanjut di luar mahkamah, Sangeet berkata, beliau turut menerimanya melalui aplikasi WhatsApp.

“Agak mengejutkan bagaimana ia boleh berlaku,” katanya.

Sangeet selaku pemohon memfailkan saman pemula itu pada 14 Januari lalu dengan menamakan Ketua Hakim Mahkamah Persekutuan Malaysia sebagai responden.

Anak perempuan mendiang Karpal Singh itu memohon perisytiharan, antaranya Ketua Hakim Negara gagal menjalankan kewajipan perlembagaan dan statutori sebagai Ketua Badan Kehakiman untuk membela serta memelihara integriti badan berkenaan.

Ia berikutan responden didakwa gagal menjalankan siasatan dalaman dan membuat keputusan mengenai dakwaan terbuka campur tangan kehakiman dalam Badan Kehakiman.

Campur tangan itu membabitkan keputusan rayuan kes Akta Hasutan mendiang Karpal di Mahkamah Rayuan sebagaimana didakwa peguam, Mohamed Haniff Khatri Abdulla, yang dilaporkan secara meluas oleh sebuah portal berita pada 22 Ogos tahun lalu.

Ia turut membabitkan dakwaan campur tangan dalam kes penukaran agama tiga anak guru tadika, M Indira Gandhi, oleh bekas suaminya yang memeluk Islam, dan ia dinyatakan secara terbuka oleh Hamid Sultan pada Persidangan Undang-Undang Antarabangsa Malaysia, di sini, 16 Ogos 2018.

Sangeet turut memohon perisytiharan, beliau mempunyai hak dan berhak kepada satu Badan Kehakiman yang bebas dan tidak memihak serta bebas daripada campur tangan mana-mana pihak.

Jika terdapat dakwaan campur tangan itu, Sangeet menyatakan bahawa semua pihak terbabit, termasuk dirinya, berhak mendapat maklumat mengenai siasatan dalaman oleh Badan Kehakiman dan penemuan serta dapatannya.

Pada 21 Februari lalu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata kerajaan bersetuju menubuhkan RCI bagi menyiasat dakwaan campur tangan terbuka Badan Kehakiman membabitkan salah laku hakim Mahkamah Rayuan dan Persekutuan.

Anak perempuan mendiang Karpal Singh, Sangeet Kaur Deo pada sidang media selepas pengurusan kes menyaman Ketua Hakim Negara yang didakwa gagal menjalankan tugas sebagai Ketua Badan Kehakiman. Kerajaan akan kemukakan pernyataan balasan di Mahkamah Tinggi. - Foto Aswadi Alias
Anak perempuan mendiang Karpal Singh, Sangeet Kaur Deo pada sidang media selepas pengurusan kes menyaman Ketua Hakim Negara yang didakwa gagal menjalankan tugas sebagai Ketua Badan Kehakiman. Kerajaan akan kemukakan pernyataan balasan di Mahkamah Tinggi. - Foto Aswadi Alias
Berita Harian X