Ahad, 24 Februari 2019 | 9:53pm
Kemalangan maut di Kilometer 58 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan membabitkan sebuah kereta peronda polis dan sebuah kereta Proton Persona. - Ihsan pembaca

Sesak nafas sebelum meninggal dunia

PENDANG: Seorang lelaki maut manakala dua anggota polis cedera dalam kemalangan di Kilometer (KM) 58 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan di sini, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira 5.40 petang itu, Lem Wei Hong, 28, beralamat di Taman Batik, Sungai Petani, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan dalaman.

Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintendan Arriz Sham Hamezah, berkata nahas membabitkan kereta Proton Pesona dipandu mangsa dan Kenderaan Peronda Lebuh Raya (EMPV) dinaiki dua anggota polis serta sebuah van dipandu lelaki warga Thailand.

“Ketika kejadian, dua anggota polis terbabit selesai memeriksa sebuah van Thailand dan ingin bergerak semula untuk rondaan sebelum mendengar dentuman kuat dari arah belakang.

“Pada masa sama, kenderaan polis yang sudah bergerak ke depan terlanggar van berkenaan.

“Anggota polis terbabit turun memeriksa kejadian dan mendapati sebuah Proton Persona melanggar belakang EMPV terbabit,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Arriz Sham berkata, mangsa dikatakan sempat keluar dari kenderaan dan bersembang dengan anggota polis terbabit sebelum mengadu sesak nafas dan meninggal dunia.

Pemandu EMPV, Koperal Ahmad Haniff Awang, 31, cedera di belakang kepala manakala rakan setugasnya, Koperal Mohd Azam Rahim, 28, cedera di kaki kiri.

Pemandu van warga Thailand tidak mengalami kecederaan.

“Anggota polis yang cedera dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar untuk rawatan lanjut manakala mayat mangsa dihantar ke hospital sama untuk dibedah siasat.

“Saksi kejadian dikesan untuk membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Berita Harian X