Jumaat, 22 Februari 2019 | 9:43pm
Sindiket perjudian dalam talian yang mengendalikan wang pertaruhan mencecah RM80,000 di sebuah kondominium di Kota Damansara digempur sepasukan polis dari IPD Petaling Jaya.
Sindiket perjudian dalam talian yang mengendalikan wang pertaruhan mencecah RM80,000 di sebuah kondominium di Kota Damansara digempur sepasukan polis dari IPD Petaling Jaya.

Pusat operasi judi dalam talian di kondo mewah diserbu

PETALING JAYA: Cubaan sindiket judi dalam talian berselindung dengan beroperasi dalam unit kondominium mewah gagal apabila diserbu anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya di Kota Damansara, di sini, hari ini.

Dalam dua serbuan ke atas dua unit kondominium yang terletak di tingkat 18 dan 36 pada jam 4.30 petang, seramai 15 individu termasuk seorang wanita ditahan.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din, berkata semua individu yang ditahan adalah warga tempatan berusia antara 20 hingga 40 tahun dan pusat itu sudah beroperasi selama sebulan.

“Selain menahan suspek, kita turut merampas peralatan yang digunakan untuk menjalankan operasi mereka iaitu 16 set komputer berserta modem serta 21 telefon pintar.

“Hasil soal siasat, semua individu yang ditahan bekerja sebagai pengendali pertaruhan dan dibayar gaji sebanyak RM3,000 sebulan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas tamat operasi, hari ini.

Mohd Zani berkata, sindiket dipercayai mengendalikan RM70,000 sehingga RM80,000 aliran wang tunai dalam sehari.

“Satu komputer akan dikendalikan oleh seorang pekerja yang akan menerima sekitar RM10,000 wang pertaruhan.

“Menggunakan kediaman mewah sebagai lokasi pusat operasi sindiket judi dalam talian adalah taktik sindiket untuk elak daripada dikesan.

“Premis yang dipilih juga kebanyakannya memiliki kawalan keselamatan yang ketat seperti lif yang hanya boleh digunakan oleh pemilik kad akses khas dan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) bagi mengawasi laluan di koridor unit kondominium,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Berita Harian X