Jumaat, 22 Februari 2019 | 12:03pm
Polis memegang buluh yang dipercayai menyebabkan seorang remaja lelaki maut dalam kejadian di Kampung Kok Kiok, Bukit Bakar, Machang.- Foto ihsan Pembaca
Polis memegang buluh yang dipercayai menyebabkan seorang remaja lelaki maut dalam kejadian di Kampung Kok Kiok, Bukit Bakar, Machang.- Foto ihsan Pembaca

Remaja maut tercucuk buluh di leher

MACHANG: Seorang remaja lelaki berusia 17 tahun maut selepas tertusuk buluh di bahagian leher kanan dalam kejadian di Kampung Kok Kiok, Bukit Bakar, di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 9 pagi, mangsa, Mohd Asri Azman, 17, yang membonceng motosikal maut di lokasi kejadian akibat pendarahan teruk.

Ketika kejadian, motosikal berkenaan dipandu sepupunya, Mohd Fitri Rosdi, 18, dalam perjalanan bersiar-siar di kawasan kampung bersama seorang lagi sepupu mereka yang menunggang motosikal lain.

Bagaimanapun, sebaik tiba di lokasi kejadian, sebuah motosikal dari arah bertentangan ditunggang seorang lelaki yang membawa sebatang buluh yang diletakkan di bahu, sebelum tertusuk di leher mangsa.

Mohd Fitri berkata, mereka cuba mengelak daripada terkena buluh itu, tetapi tidak sangka buluh berkenaan terkena bahagian leher kanan sepupunya.

"Kami terus menghentikan motosikal dan darah mengalir di leher Mohd Asri begitu banyak.

"Saya sempat mengajar sepupu mengucap dua kalimah syahadah sebelum meninggal dunia," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Penduduk kampung membantu anggota polis mengangkat mayat Mohd Asri Azman (gambar kecil), 17, yang maut selepas terkena buluh di bahagian leher kanannya di Kampung Kok Kiok, Bukit Bakar. - Foto ihsan Pembaca
Penduduk kampung membantu anggota polis mengangkat mayat Mohd Asri Azman (gambar kecil), 17, yang maut selepas terkena buluh di bahagian leher kanannya di Kampung Kok Kiok, Bukit Bakar. - Foto ihsan Pembaca

Beliau berkata, ketika itu mereka dari Kampung Bukit Sawa melalui Kampung Kok Kiok untuk ke Bukit Bakar.

"Kami berada di bahagian hadapan, manakala seorang sepupu mengikuti di bahagian belakang. Saya tidak sangka akan kehilangan sepupu yang paling rapat secara mengejut," katanya.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Machang, Asisten Superintendan Mohd Shamsuri Mohd Zain ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Katanya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Machang untuk bedah siasat.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan kerana memandu secara cuai menyebabkan kematian," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Berita Harian X