Khamis, 21 Februari 2019 | 8:01am
- Foto Hiasan
- Foto Hiasan

Kanak-kanak lima tahun meninggal dunia dipercayai didera

PEKAN: Seorang kanak-kanak berusia lima tahun meninggal dunia dipercayai didera oleh bapa tirinya di Kampung Padang Rumbia, di sini, semalam.

Muhammad Hafiz Abdullah disahkan meninggal dunia ketika mendapat rawatan di Klinik Kesihatan Padang Rumbia kira-kira jam 4 petang semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Datuk Othman Nanyan, berkata siasatan awal mendapati ibu kandung dan bapa tiri mangsa membawa kanak-kanak itu di klinik berkenaan namun disahkan meninggal dunia.

“Pemeriksaan awal oleh doktor mendapati ada kesan cedera disyaki akibat penderaan iaitu kesan lebam baru di dada, kesan cucuh api rokok di tapak kaki, bibir pecah, lebam sebelah mata kanan serta luka-luka kecil baru di bahagian kening kanan.

“Mayat kini berada di Hospital Pekan dan akan dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan untuk bedah siasat pada hari ini untuk mengetahui punca kematian,” katanya dalam satu kenyataan media di sini.

Beliau berkata, ibu kandung mangsa yang berusia 25 tahun dan bapa tirinya yang berusia 54 tahun ditahan bagi siasatan.

“Siasatan awal polis mendapati ayah tiri mangsa mengaku ada memukul mangsa pada tarikh kejadian (semalam).

“Kes diklasifikasi mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

Berita Harian X