Rabu, 20 Februari 2019 | 7:15pm
DATUK Seri Najib Razak hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. - Foto Saddam Yusoff
DATUK Seri Najib Razak hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. - Foto Saddam Yusoff

Cabar pelantikan Sri Ram lebih baik didengar di Mahkamah Tinggi Jenayah - Hakim

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, menolak permohonan Datuk Seri Najib Razak dan peguamnya untuk mendapatkan kebenaran memulakan prosiding semakan kehakiman mencabar pelantikan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Gopal Sri Ram.

Pejabat Peguam Negara melantik Sri Ram selaku Pendakwa Raya Kanan bagi mengetuai pasukan pendakwaan dalam kes jenayah dihadapi Najib dan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Azizah Nawawi, membuat keputusan itu selepas mendapati lebih baik isu berhubung pelantikan Sri Ram diputuskan di Mahkamah Tinggi Jenayah.

Azizah dalam penghakimannya berkata, perkara dimohon Najib dan Muhammad Shafee di hadapannya, iaitu di Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas), adalah sama dengan permohonan di Mahkamah Tinggi Jenayah.

Beliau berkata, tiada sebarang isu berhubung bidang kuasa kedua-dua mahkamah itu kerana masing-masing ada bidang kuasa untuk memutuskan perkara dimohon oleh Najib dan Muhammad Shafee.

“Isu utama ialah permohonan itu lebih baik didengar di mahkamah mana. Oleh kerana perbicaraan utama kes ini ialah di Mahkamah Tinggi Jenayah, adalah lebih baik isu berhubung pelantikan ini didengar di Mahkamah Tinggi Jenayah,” katanya.

Dalam permohonan kebenaran bagi semakan kehakiman difailkan pada Disember lalu, Najib dan Muhammad Shafee memohon perisytiharan untuk membatalkan keputusan Peguam Negara/Pendakwa Raya yang tidak mengemukakan surat pelantikan Sri Ram mengikut Seksyen 376(3) Kanun Acara Jenayah.

Mereka turut memohon untuk membatalkan atau menolak pelantikan Sri Ram berikutan surat pelantikan tidak sah dan memohon perisytiharan bahawa ada konflik kepentingan berhubung pelantikan itu.

Turut dimohon, perintah untuk melarang Sri Ram daripada terus mengetuai pasukan pendakwaan dalam semua kes jenayah dihadapi Najib membabitkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan kes mengemukakan pernyataan tidak benar kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) serta pengubahan wang haram dihadapi Muhammad Shafee.

Dalam perkembangan sama, Mahkamah Tinggi Jenayah, hari ini, turut mendengar permohonan Najib dan Muhammad Shafee bagi perintah supaya Sri Ram digugurkan daripada mengetuai pendakwaan dalam kes pertuduhan jenayah membabitkan 1MDB dihadapi mereka.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib yang bertindak bagi pihak pendakwaan, dalam hujahannya berkata permohonan Najib dan Muhammad Shafee harus ditolak secara keseluruhan kerana ia tidak dibuat mengikut aturan betul.

Ahmad Akram berkata, Mahkamah Tinggi Jenayah tiada bidang kuasa membuat perintah atau perisytiharan terhadap apa yang dimohon kedua-dua pemohon.

Selain itu, katanya, perkara berbangkit dalam permohonan berkenaan bukan didengar di mahkamah sama, sebaliknya kes utama dibicarakan di hadapan hakim berbeza.

Muhammad Shafee yang bertindak bagi pihak Najib pula berkata, Sri Ram tidak sepatutnya mengetuai pendakwaan dalam kes itu kerana beliau mungkin akan dipanggil memberi keterangan dalam kes terhadap anak guamnya membabitkan 1MDB.

Dalam prosiding itu, Muhammad Shafee diwakili peguam, Harvinderjit Singh.

Berita Harian X