Rabu, 20 Februari 2019 | 4:55pm
TUBUH kanak-kanak lelaki yang dipenuhi parut termasuk pada muka, selain luka baharu yang agak teruk dipercayai akibat penderaan oleh ibu kandung dan bapa tirinya.

Dera guna wayar, rotan, penyangkut baju

JOHOR BAHRU: Wayar mikrofon, rotan dan penyangkut baju dipercayai diguna pasangan suami isteri untuk mendera anak mereka berusia 12 tahun sejak dua tahun lalu.

Tubuh kanak-kanak lelaki yang kelahirannya tidak didaftarkan itu dipenuhi parut termasuk pada muka, selain luka baharu yang agak teruk pada belakang badannya dipercayai akibat penderaan oleh ibu kandung dan bapa tirinya.

Nasib mangsa akhirnya mendapat pembelaan apabila jiran di Pangsapuri Desa Melayu, Taman Bayu Puteri, di sini, menyedari perbuatan penjaga kanak-kanak itu sebelum membuat laporan polis semalam.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS), Asisten Komisioner Shahurinain Jais, berkata pihaknya menahan ibu mangsa yang juga warga Indonesia berusia 38 tahun serta bapa tirinya, lelaki tempatan berusia 29 tahun di rumah mereka jam 1 tengah hari semalam.

“Kita berjaya menyelamatkan mangsa selain dua adik tirinya iaitu seorang kanak-kanak perempuan dan lelaki masing-masing berusia tiga dan satu tahun di rumah itu.

“Mangsa segera dihantar untuk menjalani pemeriksaan dan rawatan di sebuah hospital di negeri ini,” katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, hasil soal siasat, kedua-dua suspek mengaku mendera mangsa sejak dua tahun lalu dan antara yang dirampas di rumah itu adalah wayar mikrofon, rotan dan penyangkut baju yang dipercayai digunakan pasangan itu.

“Siasatan mendapati suspek lelaki adalah pemandu bas di Singapura dan pernah menjadi Sukarelawan Polis di Balai Polis Puchong Jaya, manakala isterinya seorang peniaga makanan atas talian,” katanya.

Beliau berkata, pasangan itu direman mengikut Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah (KAJ) bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana mendera.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes penderaan itu boleh menghubungi talian Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) JBS di talian 07-2218999.

Gambar mangsa dengan keadaan tubuhnya terdapat kesan luka yang teruk selain dipenuhi parut lama menjadi viral di laman sosial sejak petang semalam.

Kanak-kanak itu dikatakan didera dan dipukul dengan pelbagai objek oleh kedua-dua suspek, sebelum kecederaan dialaminya disedari jiran yang kemudian menghubungi polis

Berita Harian X