Rabu, 20 Februari 2019 | 12:50pm
GAMBAR fail, wakil Kerajaan Sarawak yang ketuai oleh Menteri Kebajikan Wanita Keluarga dan Pembangunan Awal Kanak kanak Sarawak, Datuk Seri Fatimah Abdullah dan Ahli Parlimen Santubong Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta Wakil Wisma Putra di Sarawak, Deddy Faisal Ahmad Salleh dan Kerajaan Kemboja diketui Oleh Menteri Kanan Kemboja Okhna Datuk Dr Othsman Hassan bertemu di Banteay Meanchey untuk membincangkan penghantaraan Pulang semua 47 Rakyat Malaysia setelah proses Dokumantasi dibuat oleh Pihak Kedutaan besar Malaysia dengan pihak Imigresen Kemboja pada 16 Februari lalu. - Foto NSTP

Jalani latihan 'Macau Scam' di Kemboja

KUCHING: Penahanan 47 rakyat Malaysia di Kemboja termasuk 40 dari Sarawak sejak 11 Disember lalu, memberi petunjuk dalam membongkar kegiatan penipuan dalam talian atau `Macau Scam’ yang kini sudah memperdaya ramai mangsa di negeri ini.

Ia berikutan pendedahan beberapa mangsa kes penipuan pekerjaan itu dalam laporan polis yang mereka buat selepas dibebaskan dari Penjara Provinsi Banteay Meanchey, Kemboja dan dibawa balik ke negeri ini, baru-baru ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Sarawak, Superintendan Mustafa Kamal Gani Abdullah, berkata sehingga semalam seramai lapan mangsa termasuk enam lelaki sudah membuat laporan berhubung kes penipuan pekerjaan itu.

Beliau berkata, berdasarkan laporan itu, semua mangsa mendakwa mereka diarahkan untuk menghafal skrip menyamar sebagai pegawai bank atau mahkamah, modus operandi serupa yang digunakan oleh sindiket ‘Macau Scam’ memperdayakan mangsa.

“Sebaik tiba di satu lokasi di Kemboja, mereka ditempatkan di sebuah rumah yang dikawal rapi dan mereka kemudiannya diarahkan menghafal skrip serta menyamar sebagai pegawai bank dan mahkamah.

“Mereka kemudiannya diarah membuat panggilan telefon kepada mangsa dan ia adalah sama dengan modus operandi sindiket `Macau Scam’ yang sudah memperdayakan ramai mangsa di negeri ini,” katanya dalam kenyataan semalam.

Mustafa berkata, selain memperdayakan mangsa dengan menyamar sebagai pegawai bank atau mahkamah, ada juga mangsa yang mengakui diarahkan untuk mempromosikan judi dalam talian melalui panggilan telefon dan pesanan ringkas (SMS) kepada nombor telefon yang disediakan.

Beliau berkata, siasatan awal terhadap beberapa mangsa mendapati mereka tertarik dengan gaji lumayan antara AS$1,200 (RM4,885) hingga AS$1,500 (RM6,107) dalam bidang perhotelan di Kemboja yang ditawarkan menerusi laman sosial Facebook dan aplikasi WeChat.

“Mangsa yang tertarik dengan tawaran itu sanggup membayar yuran pemprosesan sebanyak AS$200 (RM814) hingga AS$300 (RM1,221) ke akaun bank dan kepada seorang rakyat tempatan Sarawak.

“Setakat ini, suspek warga tempatan yang disyaki terbabit dengan sindiket penipuan pekerjaan itu sudah dikenal pasti dan usaha mengesannya sedang giat dijalankan,” katanya yang menjelaskan kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Berita Harian X