Selasa, 19 Februari 2019 | 1:12pm

Penyamun dalam lif direman 7 hari

KUALA LUMPUR: Lelaki yang membelasah dan menyamun wanita di Stesen MRT Taman Mutiara, Cheras pada 14 Februari lalu, direman 7 hari bermula hari ini.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon, mengesahkan demikian sebentar tadi.

Lelaki berusia 26 tahun itu ditahan polis semalam dalam serbuan sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras di sebuah rumah di Taman Cheras, pada jam 8.10 malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.45 pagi itu, mangsa seorang wanita berusia 48 tahun, diserang seorang lelaki ketika menaiki lif di Stesen MRT Taman Mutiara.

Kejadian dirakamkan Kamera Litar Tertutup (CCTV) dalam lif berkenaan dan menjadi viral di media sosial.

Berdasarkan rakaman selama 55 saat itu, mangsa yang menaiki lif seorang diri dipukul dan ditendang suspek sebelum melarikan kad pengenalan, kad bank dan wang tunai RM400.

Berikutan kejadian, wanita itu mengalami bengkak di dahi serta kesakitan pada bahagian badan dan mendapat rawatan sebagai pesakit luar.

RAKAMAN CCTV di dalam sebuah lif menunjukkan seorang wanita dibelasah sebelum disamun seorang lelaki di Stesen MRT Taman Mutiara, Cheras, pada Khamis lalu.
Berita Harian X