Selasa, 19 Februari 2019 | 12:02am

Suspek belasah, samun wanita di MRT ditahan polis

KUALA LUMPUR: Suspek yang menyerang seorang wanita di Stesen MRT Taman Mutiara, Cheras pada pagi 14 Februari lalu, diberkas polis hari ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim, berkata tangkapan suspek berusia 26 tahun itu dibuat sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras di sebuah rumah di Taman Cheras, pada jam 8.10 malam tadi.

Katanya, suspek akan dibawa ke mahkamah esok pagi bagi mendapatkan perintah reman.

“Suspek berada di dalam rumah ketika tangkapan dibuat dan kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.45 pagi itu, mangsa seorang wanita berusia 48 tahun, diserang seorang lelaki ketika menaiki lif di Stesen MRT Taman Mutiara.

Kejadian dirakamkan Kamera Litar Tertutup (CCTV) dalam lif berkenaan dan menjadi viral di media sosial.

Berdasarkan rakaman selama 55 saat itu, mangsa yang menaiki lif seorang diri dipukul dan ditendang suspek sebelum melarikan kad pengenalan, kad bank dan wang tunai RM400.

Berikutan kejadian, wanita itu mengalami bengkak di dahi serta kesakitan pada bahagian badan dan mendapat rawatan sebagai pesakit luar.

KEJADIAN seorang wanita diserang seorang lelaki ketika menaiki lif di Stesen MRT Taman Mutiara.
Berita Harian X