Sabtu, 16 Februari 2019 | 5:59pm

Wanita disamun dalam lif stesen MRT, RapidKL beri kerjasama kepada polis

KUALA LUMPUR: RapidKL mengambil serius berhubung kes samun membabitkan seorang wanita di Stesen MRT Taman Mutiara, Cheras, pagi Khamis lalu.

Jurucakap Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) ketika dihubungi memaklumkan, pihaknya akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak polis dalam siasatan kes berkenaan hingga tertangkapnya suspek.

“Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kejadian itu juga sudah diserahkan kepada pihak polis bagi membantu siasatan,” katanya.

Jurucakap itu juga berkata, setiap stesen MRT termasuk di Stesen Taman Mutiara, dilengkapi dengan CCTV, malah polis bantuan juga ada melakukan rondaan di sekitar kawasan terbabit, namun jenayah seperti itu adalah di luar jangkaan pihaknya.

Kejadian sekitar jam 6.45 pagi Khamis lalu itu dirakamkan Kamera Litar Tertutup (CCTV) dalam lif berkenaan dan menjadi viral di media sosial.

Berdasarkan rakaman selama 55 saat itu, mangsa berusia 48 tahun yang menaiki lif seorang diri dibelasah suspek sebelum melarikan kad pengenalan, kad bank dan wang tunai RM400.

Kejadian turut menyebabkan wanita itu mengalami bengkak di dahi serta kesakitan pada bahagian badan dan mendapat rawatan sebagai pesakit luar.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Rusdi Mohd Isa, berkata usaha mengesan suspek masih dilakukan dan kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

Rakaman CCTV di dalam sebuah lif menunjukkan seorang wanita dibelasah sebelum disamun seorang lelaki di Stesen MRT Taman Mutiara, Cheras, pada Khamis lalu.
Berita Harian X