Rabu, 13 Februari 2019 | 10:44am
ANGGOTA KPDNHEP memeriksa lori yang digunakan bagi mengangkut minyak di sebuah stesen minyak di Batu 32, Sandakan, tengah malam tadi. - Foto ihsan KPDNHEP
ANGGOTA KPDNHEP memeriksa lori yang digunakan bagi mengangkut minyak di sebuah stesen minyak di Batu 32, Sandakan, tengah malam tadi. - Foto ihsan KPDNHEP

KPDNHEP rampas 800 liter diesel, petrol dipercayai diseleweng

SANDAKAN: Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sandakan merampas 800 liter diesel dan petrol dipercayai diseleweng dalam operasi di sebuah stesen minyak di Batu 32, dekat sini, tengah malam tadi.

Rampasan membabitkan 600 liter diesel dan 200 liter petrol, selain sebuah lori yang digunakan bagi mengangkut minyak dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM61,000.

Ketika serbuan kira-kira jam 12 tengah malam itu, seorang lelaki tempatan sedang mengisi minyak ke dalam tong dengan bahan api terbabit dipercayai diseleweng untuk dijual semula.

Ketua Cawangan KDPNHEP Sandakan, Abd Muis Samsuddin, berkata pemeriksaan dibuat oleh tiga anggota KPDNHEP selepas risikan selama dua minggu dan hasil pemeriksaan mendapati berlaku transaksi pemindahan dan pembelian dalam kuantiti banyak.

Katanya, pihaknya turut mendapati premis terbabit tidak memiliki lesen atau permit untuk menyimpan barang kawalan berjadual bahan api petroleum.

“Suspek lelaki yang berusia 44 tahun dilepaskan selepas keterangan diambil.

“Premis terbabit turut diambil tindakan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Berita Harian X