Jumaat, 8 Februari 2019 | 6:51pm
KETUA Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib menunjukkan parang yang dirampas pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, hari ini. - Foto Roslin Mat Tahir
KETUA Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib menunjukkan parang yang dirampas pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, hari ini. - Foto Roslin Mat Tahir

Polis tahan 2 beradik kes penemuan mayat 25 kesan tetakan

SHAH ALAM: Polis menahan dua suspek bagi membantu siasatan berhubung penemuan mayat yang mempunyai 25 kesan tetakan di Batu 5, Jalan Kampung Jawa di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, suspek yang juga adik beradik berusia 33 dan 35 tahun ditahan di sebuah rumah di Taman Sentosa, Klang.

“Suspek pertama yang juga adik kepada suspek utama ditahan pada jam 1.20 pagi tadi, manakala abangnya yang dipercayai suspek utama ditahan pada jam 11.20 pagi tadi.

“Polis turut menemui sebilah parang berukuran kira-kira 61 sentimeter yang dipercayai digunakan suspek utama untuk menetak mangsa dalam parit berdekatan rumahnya,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, di sini hari ini.

Baharudin berkata, hasil ujian air kencing mendapati suspek pertama tiada rekod jenayah, manakala suspek utama positif dadah jenis syabu serta mempunyai pelbagai rekod jenayah membabit samun serta dadah.

“Suspek utama juga baru sahaja menjalani hukuman penjara atas kesalahan dadah pada Ogos tahun lalu dan dibebaskan pada November tahun lalu.

“Selain itu, polis masih menjalankan siasatan sama ada suspek pertama turut terbabit dalam kes ini,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, siasatan awal mendapati mangsa dan suspek utama adalah rakan serta sama-sama terbabit dalam aktiviti penagihan dadah.

“Suspek pertama ditahan reman selama lima hari bermula hari ini, manakala permohonan reman suspek utama akan dilakukan esok. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Dalam kejadian pada jam 4 petang semalam, mayat mangsa dikenali sebagai R Dharmaraj, 34, ditemui berlumuran darah oleh orang awam terbaring di kawasan lapang berhampiran sebuah kuil.

Berita Harian X