Khamis, 7 Februari 2019 | 11:22am
MOHD Wazir Mohd Yusof
MOHD Wazir Mohd Yusof

Dua individu rugi lebih RM40,000 ditipu sindiket pinjaman tidak wujud

KUANTAN: Dua individu terjerat dengan taktik sindiket pinjaman tidak wujud menghantar mesej secara rawak kepada orang ramai sehingga mengakibatkan kerugian lebih RM40,000.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof, berkata dalam kejadian pertama, seorang jururawat dari Kerdau, Temerloh berputih mata menanggung kerugian RM34,810 hanya kerana mahu membuat pinjaman wang sebanyak RM10,000

Beliau berkata, dalam kejadian pada 5 Julai tahun lalu apabila mangsa berusia 40 tahun itu menerima mesej menerusi aplikasi WhatsApp daripada seorang wanita yang menawarkan pinjaman sebanyak RM10,000.

“Suspek beberapa kali meminta mangsa memindahkan wang ke dalam akaun yang diberikan kononnya bertujuan untuk meluluskan proses permohonan pinjaman berkenaan.

“Pada 29 Ogos lalu hingga 31 Januari lalu, mangsa membuat pelbagai pembayaran ke dalam akaun yang diberikan suspek seperti bayaran peguam, cukai dan proses kelulusan sehingga menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak RM34,810,” katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Katanya, mangsa menyedari ditipu kerana selepas membuat pembayaran seperti yang diminta tetapi tidak menerima apa-apa bayaran seperti yang dijanjikan oleh suspek sebelum membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh, kelmarin.

Sementara itu, dalam kes berasingan, Mohd Wazir berkata, seorang lelaki yang juga kerani akaun berusia 29 tahun di Bera pula kerugian RM7,100 selepas ditawarkan pinjaman wang yang dihantar menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS).

Katanya, pada 19 Januari lalu, mangsa menerima SMS daripada seorang wanita memperkenalkan diri sebagai Abby yang menawarkan pinjaman peribadi berserta jadual pembayaran kepadanya.

“Mangsa bersetuju membuat pinjaman sebanyak RM30,000 sebelum menghantar salinan kad pengenalan dan slip gaji tiga bulan kepada Abby. Tidak lama kemudian suspek menyatakan pinjaman berkenaan sudah lulus,” katanya.

Katanya, untuk mendapatkan pinjaman itu, mangsa diminta membuat beberapa bayaran untung proses kelulusan ke dalam satu akaun yang diberikan oleh Abby.

“Mangsa kemudian membuat pindahan sebanyak empat kali ke dalam akaun berkenaan menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak RM7,100. Selepas memasukkan wang itu, mangsa menerima SMS daripada Abby dan mendakwa wang pinjaman sebanyak RM37,100 sudah dimasukkan.

“Namun, hasil semakan mendapati wang berkenaan belum dimasukkan. Mangsa cuba menghubungi Abby namun talian telefon sudah dimatikan. Dia kemudian membuat laporan polis di IPD Bera, kelmarin,” katanya.

Katanya, kedua-dua kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Berita Harian X